Monday, September 21, 2026
HomeSUKANAll England: Terlalu Awal Kembali Beraksi

All England: Terlalu Awal Kembali Beraksi

PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menganggap dia mungkin membuat keputusan tergesa-gesa untuk kembali beraksi di kala kecederaan yang dialami masih belum pulih sepenuhnya.

Keadaan itu membawa padah buat dirinya apabila gagal menampilkan aksi sebenar ketika terpaksa akur tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton All England awal pagi semalam.

Zii Jia berkata, dia hanya memiliki masa dua minggu sahaja untuk menjalani latihan intensif sebelum menggalas cabaran pada jelajah Eropah selepas berehat lama gara-gara kecederaan ligamen buku lali Disember tahun lalu.

“Secara jujur, saya belum ada perancangan jelas untuk kejohanan seterusnya disebabkan kecederaan ini. Saya akan berbincang dengan pasukan terlebih dahulu untuk tengok sejauh mana keadaannya (kecederaan).

“Saya fikir sudah bersedia datang ke sini tetapi, kecederaan ini memerlukan masa lebih panjang untuk pulih. Mungkin agak tergesa-gesa (beraksi) dan silap buat keputusan tetapi saya perlu terima,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pada perlawanan itu, Zii Jia yang merupakan juara bagi edisi 2021 dikejutkan dengan kekalahan tiga set 21-19, 16-21, 12-21 kepada pemain Hong Kong, Ng Ka Long yang menerima sentuhan bekas jurulatih pasukan Malaysia, Wong Choong Hann.

“Dia (Ka Long) bermain cukup baik hari ini (semalam) dan apa yang saya lihat, dia memiliki variasi permainan sehingga menyebabkan saya perlu meneka ke manakah arah pukulan yang dilakukannya,” ujarnya.

Sementara itu, sekiranya beraksi pada Terbuka Switzerland yang akan berlangsung di Basel minggu depan, Zii Jia sekali lagi dijadualkan bertemu Ka Long di pusingan pertama.

Sumber – Kosmo! Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Kawalan Masuk Wisma Negeri Diperketat, Petugas Media Perlu Ada Surat Kebenaran

0
SEREMBAN - Pengamal media tidak dibenarkan memasuki Wisma Negeri hari ini susulan pengumuman Istana Negeri Sembila bahawa Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku MUnawir...

CATEGORIES