BEIJING: Novak Djokovic kembali ke Kejohanan Terbuka China selepas 11 tahun dengan misi membina semula momentum susulan kemerosotan ranking dunia serta tersingkir mengejut pada pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat (AS).
Pemain Serbia berusia 39 tahun itu mengesahkan penyertaan dalam kejohanan ATP 500 berkenaan semalam, yang pernah dikuasainya dengan enam kejuaraan termasuk kejayaan terakhir pada 2015.
Djokovic hadir ke Beijing selepas tewas kepada pemain Argentina, Mariano Navone dalam pertarungan lima set di New York, kekalahan yang menyaksikan dia tersingkir pada pusingan pertama Grand Slam buat kali pertama sejak Terbuka Australia 2006.
“Saya teruja untuk kembali dan beraksi di hadapan anda semua di Pusat Tenis Nasional, antara venue tercantik yang kita ada dalam dunia tenis.
“Saya sentiasa mempunyai kenangan indah di Beijing dan tidak sabar untuk kembali beraksi di hadapan peminat,” kata Djokovic.
Kekalahan itu turut menyaksikan Djokovic berdepan masalah fizikal apabila muntah ketika perlawanan, selain mengalami masalah belakang dan bahu yang menjejaskan servisnya pada penghujung aksi.
Bekas pemain No.1 dunia itu kini berada di ranking ke-12 dunia, sekali gus menjadikan penampilan di Beijing peluang untuknya membina semula momentum menjelang saingan penghujung musim.
Kejohanan lelaki Terbuka China akan berlangsung dari 30 September hingga 6 Oktober, dengan Jannik Sinner selaku juara perseorangan lelaki edisi tahun lalu.
Djokovic memegang rekod enam gelaran di Beijing dan kini kembali ke gelanggang yang pernah menyaksikan penguasaannya, dengan kejohanan berkenaan menjadi pentas untuknya mengembalikan rentak selepas permulaan mengecewakan di New York.
Sumber – AGENSI





