“Tempoh ini bukan sesuatu yang mudah dan saya ingin berterima kasih kepada semua yang berada dekat dengan saya kerana membantu saya kekal fokus serta terus berusaha mencapai matlamat untuk kembali beraksi.
“Saya berpeluang menunggang beberapa jenis motosikal sepanjang minggu lalu dan doktor sudah memberikan lampu hijau untuk saya kembali berlumba.
“Saya benar-benar tidak sabar untuk bertemu semula dengan pasukan dan melihat apa yang mampu kami lakukan dalam baki perlumbaan musim ini.
“Sepang mempunyai kenangan manis buat saya dan pasukan Honda. Saya fikir keputusan untuk kembali beraksi di litar yang begitu biasa dengan saya adalah tepat.
“Perkara paling penting hujung minggu ini ialah kembali menunggang motosikal, membina semula keserasian dengan pasukan dan menilai tahap keselesaan saya,” kata Mir.
Ketika Mir diketepikan akibat penyakit tanpa pengganti disediakan untuknya pada GP Australia minggu lalu, seorang lagi pelumba Honda, Luca Marini, turut mengalami jangkitan virus sehingga terpaksa menarik diri.
Situasi itu menyebabkan tiada sebuah pun jentera Honda HRC beraksi di Litar Phillip Island selepas sesi latihan bebas pertama (FP1).
Bagaimanapun, Marini juga berharap dapat kembali beraksi pada GP Malaysia.
“Malangnya, kami hanya mampu melengkapkan beberapa pusingan di Phillip Island dan sejak Jumaat, saya memberikan tumpuan sepenuhnya untuk pulih sebaik mungkin.
“Saya mula berasa lebih baik dan sudah dapat kembali menjalani latihan di gimnasium, tetapi menunggang jentera MotoGP sememangnya sesuatu yang berbeza.
“Sepang ialah litar yang menuntut ketahanan fizikal tinggi, ditambah pula dengan keadaan cuaca. Kami perlu mengubah sedikit pendekatan hujung minggu ini bagi memastikan tenaga mencukupi untuk perlumbaan Ahad, dan banyak juga bergantung kepada keadaan cuaca.
“Kami perlu menjalani pemeriksaan perubatan sebelum hujung minggu perlumbaan, tetapi saya tidak fikir ia akan menjadi masalah,” kata pelumba Itali itu.
Sumber – Berita Harian