Wednesday, October 28, 2026
HomeBERITAHarimau Berkeliaran, 500 Penduduk Kuala Krai Hidup Ketakutan

Harimau Berkeliaran, 500 Penduduk Kuala Krai Hidup Ketakutan

KUALA KRAI – Kira-kira 500 penduduk di empat kampung dalam Mukim Sungai Mengkuang, di sini, hidup dalam kebimbangan sejak kehadiran harimau dikesan di hutan berhampiran.

Kebimbangan penduduk semakin memuncak selepas seekor lembu milik penduduk dipercayai diterkam harimau Isnin lalu, selain penemuan kesan tapak kaki yang dipercayai milik seekor harimau betina bersama anaknya.

Kejadian dilaporkan di Kampung Nara, Kampung Bukit Pacat, Kampung Gajah Mati dan Kampung Slow Temiang.

Penduduk, Mansor Derahman, 77, berkata, dia sudah lebih dua minggu tidak keluar menoreh getah kerana bimbang terserempak dengan haiwan liar itu, terutama selepas mendengar bunyi ngaumannya berhampiran kebun getah.

“Buat masa ini, saya memilih untuk tidak ke kebun kerana bimbang jika terserempak dengan harimau itu. Kita tidak tahu bila atau dari arah mana haiwan itu boleh muncul.

“Kebanyakan penduduk di sini bergantung kepada hasil menoreh getah sebagai sumber pendapatan utama. Namun, sejak kehadiran haiwan berkenaan, ramai tidak berani mengambil risiko untuk ke kebun demi menjaga keselamatan diri,” katanya.

Seorang lagi penoreh, Sukarman Ibrahim, 59, berkata, dia menemui kesan tapak kaki harimau yang masih baharu di laluan ke kebunnya ketika dalam perjalanan untuk menoreh getah kira-kira dua minggu lalu.

“Pada malam sebelumnya, hujan renyai-renyai dan ketika ke kebun kira-kira jam 8 pagi keesokan harinya, saya ternampak kesan tapak kaki haiwan itu di atas tanah yang masih basah.

“Berdasarkan saiznya, saya mendapati terdapat dua kesan tapak kaki berbeza, satu bersaiz besar dan satu lagi kecil yang dipercayai milik harimau dewasa bersama anaknya.

“Sebaik sahaja melihat kesan tapak kaki itu, saya terus berpatah balik kerana bimbang akan keselamatan diri, selain terdengar bunyi ngauman haiwan berkenaan dari kawasan bukit berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Sungai Mengkuang, Zulkifli Sulaiman, berkata kejadian itu adalah kes pertama membabitkan kehadiran harimau yang dilaporkan kepadanya sepanjang 17 tahun memegang jawatan berkenaan.

Beliau berkata, sebelum ini, beliau hanya menerima laporan mengenai kehadiran haiwan liar seperti gajah, beruang dan tapir di kawasan mukim berkenaan.

“Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, penduduk kini mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengelakkan aktiviti di luar rumah selepas waktu Maghrib. Sekiranya berlaku kecemasan, mereka hanya berani keluar dengan menggunakan kenderaan seperti kereta atau pikap.

“Dalam pada itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) juga sudah memasang dua perangkap, masing-masing di Kampung Nara dan Kampung Gajah Mati sejak lebih seminggu lalu bagi menangkap harimau berkenaan,” katanya.

Zulkifli berkata, kehadiran haiwan liar itu bersama anaknya turut menjejaskan sumber pendapatan penduduk apabila mereka tidak dapat menjalankan aktiviti menoreh getah seperti biasa kerana bimbang menjadi mangsa haiwan berkenaan.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Abaikan Saja Pembenci, Orang Akan Bercakap Sebab Lumrah Artis’

0
KUALA LUMPUR – “Abaikan saja pembenci. Lumrah kita sebagai artis, orang akan bercakap tentang kita, sama ada perkara baik atau buruk.” Demikian pesanan pelakon Sophia...

CATEGORIES