Sambutan luar biasa terhadap sesi uji bakat filem Ragging – Melawan Bungkam mengejutkan pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad, apabila kira-kira 400 calon hadir, termasuk peserta dari luar negara yang sanggup datang ke Kuala Lumpur demi merebut peluang membintangi filem sulung terbitannya itu.
Uyaina Arshad, 34, mengakui terkejut dengan sambutan luar biasa itu, apatah lagi apabila ada calon sanggup merentas negeri, malah pelakon dari Brunei juga ‘terbang’ ke Kuala Lumpur untuk diuji bakat.
“Jujurnya, saya memang tidak menjangka akan menerima kehadiran peserta seramai itu. Ada yang datang jauh dari Brunei, Pulau Pinang dan Melaka.
“Sesi uji bakat kami sepatutnya dibuka pada pukul 9 pagi, tetapi seawal pukul 6.30 pagi mereka sudah mula beratur di luar pintu pagar.
“Maklum balas calon yang berminat menjadi sebahagian daripada naskhah ini membuatkan kami terharu,” katanya.
Katanya, kesungguhan calon yang sanggup menunggu giliran demi peluang menembusi layar perak membuatkan pasukannya melanjutkan sesi uji bakat sehingga lewat malam.
Menurut Uyaina lagi, keputusan memanjangkan masa uji bakat dibuat sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan calon yang datang dari jauh.
“Kami beroperasi sehingga lewat malam kerana mahu menyantuni setiap peserta yang datang menunjukkan bakat mereka.
“Kasihan pada mereka yang sudah ke lokasi uji bakat dari jauh termasuk dari luar Lembah Klang serta setia menunggu giliran berjam-jam.
“Bagi melancarkan proses pada hari kedua, kami turut menyediakan ruang saringan terlebih dahulu sebelum mereka masuk ke bilik uji bakat utama,” ujarnya.
Pada masa sama, pihaknya juga mengundang pelakon tanah air hadiri sesi uji bakat tertutup termasuk mereka yang baharu bertapak serta sudah lama dalam industri seni.
“Memang kita panggil pelakon berpengalaman dan sudah ada beberapa nama besar yang datang memenuhi jemputan.
“Dengan jumlah calon yang hadir, proses pemilihan untuk membawakan watak dalam filem pertama terbitan kami ini masih dalam perincian.
“Kami akan umumkan apabila tiba masanya nanti, dijangka sebelum akhir tahun iaitu sebelum kerja penggambaran bermula,” katanya.
Sarat cabaran
Ditanya mengenai tanggungjawab sebagai produser, Uyaina berkata, filem berkenaan diterbitkan empat syarikat produksi dengan kesemua penerbit mempunyai tugas masing-masing.
Barangkali dia yang nampak lebih ke depan disebabkan statusnya sebagai penggiat seni serta kerap berkongsi perkembangan naskhah berkenaan.
“Semua rakan penerbit saya berpengalaman luas dalam pelbagai lapangan dan saya pula baru pertama kali duduk di kerusi produser.
“Mungkin orang tengok saya banyak ke depan sebab saya dikenali ramai. Ikutkan masing-masing (penerbit) juga sama-sama melakukan tugas mereka dengan bagus.
“Memang proses ke arah merealisasikan Ragging – Melawan Bungkam sangat mencabar tetapi banyak perkara baru saya belajar,” ulasnya.
Filem Ragging – Melawan Bungkam yang disasarkan menelan kos sekitar RM3 juta dijadualkan memulakan penggambaran sekitar Disember depan.
Sumber – Berita Harian





