KUALA LUMPUR – Selepas sekian lama tidak menyertai acara seumpamanya, penyanyi Nourul Depp menyifatkan undangan menjayakan Malam Puisi Riong (MPR) anjuran Berita Harian (BH) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di The Esplanade, Padang Kota Lama, Georgetown, Pulau Pinang, esok, sebagai peluang untuk kembali mendekati dunia puisi dan sastera yang diminatinya.
Nourul berkata, jemputan ini cukup bermakna kerana bukan sahaja memberinya ruang untuk menghayati keindahan puisi, malah, mendorongnya mengimbau kembali minat terhadap bahasa dan penulisan.
Nourul berbesar hati apabila dipilih untuk menjayakan program yang mengangkat martabat bahasa kebangsaan menerusi penghayatan puisi dan seni.
“Saya berbesar hati apabila terpilih kerana sudah lama juga tidak menyertai acara seperti ini. Kebetulan saya berada di Malaysia, jadi saya menerima jemputan itu.
“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana program ini mengangkat martabat bahasa dan puisi,” katanya.
Nourul berkata, latar belakang pengajian dalam bidang sastera serta minat mendalam terhadap bahasa menjadikan peluang itu lebih istimewa buat dirinya.
Malah, penyertaan dalam Malam Puisi Riong mendorongnya menyemak semula himpunan tulisan dan puisi yang pernah dihasilkan sebelum ini.
Akuinya, kesibukan dengan pelbagai komitmen menyebabkan minat terhadap penulisan adakalanya terpinggir, justeru undangan itu membuka ruang untuk kembali menerokai bidang berkenaan.
“Perkara ini menarik saya untuk baca semula apa yang pernah saya tulis, termasuk puisi, kerana saya juga suka menulis.
“Walaupun saya ke sana untuk menyanyi, ini sesuatu yang boleh saya teroka dari sudut penulisan juga, khususnya berkaitan puisi,” katanya.
Mengulas persembahannya, Nourul berkata, dia bakal menyampaikan dua lagu, iaitu Cinta Azali dan Kerana Terluka.
Menurutnya, lagu Kerana Terluka mempunyai keistimewaan tersendiri kerana liriknya dihasilkan penulis lirik berpengalaman, Allahyarham Mama Juwie.
Malam Puisi Riong yang bermula jam 8 malam di The Esplanade, Padang Kota Lama, George Town, dianjurkan sempena sambutan bulan bahasa kebangsaan peringkat nasional.
Program itu bertujuan menyemarakkan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan menerusi penghayatan puisi, seni dan budaya, selain memperkukuh penghargaan masyarakat terhadap keindahan bahasa Melayu.
Selain Nourul, pengunjung MPR akan dihiburkan bintang Akademi Fantasia (AF), Mila Jirin dan lebih 30 pelajar anggota Jenan Wind Orchestra (JWO) dari Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH), Jitra, Kedah.
MPR menjadi platform mendekatkan masyarakat dengan bahasa dan sastera Melayu melalui pelbagai pengisian, termasuk persembahan puisi, nyanyian lagu puisi, boria serta persembahan artis tempatan.
Turut hadir mendeklamasikan puisi adalah Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan dan pencipta lagu puisi, Ahmad Ramli.
Sumber – Berita Harian





