Tuesday, October 20, 2026
HomeBERITADua Beranak Maut ,Polis Siasat Punca Kontena Diletak Di Bahu Jalan

Dua Beranak Maut ,Polis Siasat Punca Kontena Diletak Di Bahu Jalan

KOTA KINABALU – Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebuah kontena yang diletakkan di bahu Jalan Sepanggar, berhampiran Pelabuhan Sepanggar, di sini, sebelum terjatuh dan menghempap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sehingga meragut nyawa dua beranak.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata siasatan turut meneliti sama ada kontena itu diletakkan di kawasan berkenaan secara sengaja atau disebabkan faktor lain yang tidak dapat dielakkan.

Katanya, polis juga sedang mendapatkan keterangan saksi bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, selain meneliti aspek keselamatan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

“Walaupun kontena diletakkan di tepi jalan, saiz dan ketinggiannya boleh menghalang pandangan pengguna jalan raya serta menimbulkan risiko keselamatan yang tinggi.

“Selain itu, proses mengalihkan kontena menggunakan jentera berat juga berpotensi menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sukan PDRM Kontinjen Sabah di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan termasuk pengurusan pelabuhan, bagi mencari penyelesaian terhadap masalah kontena diletakkan di tepi jalan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin dan mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengesahkan pemandu lori treler berusia 49 tahun sudah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang semalam, Mohd Jadi Pelbi, 53, dan anak perempuannya, Norfaieza Mohd Jadi, 24, maut selepas Toyota Avanza yang dinaiki mereka dihempap kontena berhampiran Pelabuhan Sepanggar.

Akibat kejadian, kedua-dua mangsa tersepit di dalam kenderaan yang remuk sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba jam 9.55 malam, dan operasi menyelamat mengambil masa lebih tiga jam.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Saman RM500 Jika Dengar Muzik Telefon Bimbit Tanpa Fon Kepala

0
LONDON – Warga  London yang memainkan muzik atau video dengan kuat daripada telefon bimbit di dalam bas  berdepan saman  £100 (RM500)  sebagai  usaha menangani...

CATEGORIES