Cef selebriti dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob mencuri perhatian netizen selepas berkongsi hasrat mencari tarikh yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga pada tahun 2027.
Menerusi hantaran di Threads, Fazley atau nama lengkapnya, Ahmad Fadzli Yaakob meminta cadangan orang ramai mengenai bulan yang dianggap cantik untuk melangsungkan pernikahan.
“Bella ada Syed Saddiq. Dato’ Siti ada Dato’ K.
“Saya ada benda nak tanya, bulan berapa yang cantik untuk nikah eh kalau tahun 2027?” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tidak melepaskan peluang untuk berkongsi cadangan tarikh pernikahan yang dianggap menarik, termasuk tarikh dengan susunan nombor yang unik.
“27-7-27.”
“2/7/27, Datuk.”
“07.07.2027 okay tak?”
“Ini tarikh saya, tapi saya kongsi juga 27.02.27,” tulis beberapa netizen.
Selain itu, terdapat juga netizen yang mencadangkan agar pernikahan dilangsungkan sebelum Ramadan kerana menganggap bulan tersebut sebagai waktu yang baik untuk menghalalkan hubungan.
“ Sebelum Ramadan. Banyak pahala dan rahmat dapat menghalalkan hubungan di bulan mulia,” komen seorang pengguna.
Bagaimanapun, Fazley tidak mahu perancangan untuk mendirikan rumah tangga dilakukan secara tergesa-gesa.
“Awal sangat tu. Perancangan kena proper dan tak boleh kelam-kabut,” balasnya.
Terdahulu, Fazley mengakui majlis perkahwinannya bersama usahawan, Datuk Seri Vida (DSV), tidak mungkin akan diadakan secara terlalu sederhana.
Menurut Fazley, agak luar biasa sekiranya majlis yang melibatkan DSV dianjurkan dalam skala yang terlalu kecil. Fazley sebelum ini turut menafikan dakwaan bahawa dirinya sudah berkahwin dengan DSV.
Katanya, terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum mereka melangkah ke alam perkahwinan.
Sumber – Gempak





