Monday, November 2, 2026
HomeSUKANKimi Antonelli Muncul Juara Dunia F1 2026 Termuda

Kimi Antonelli Muncul Juara Dunia F1 2026 Termuda

MEXICO CITY – Kimi Antonelli mempamerkan pemanduan cemerlang untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga bersama Mercedes pada Grand Prix Mexico, sekali gus mencipta sejarah sebagai juara dunia Formula Satu termuda.

Max Verstappen melintasi garisan penamat sebagai pemenang, namun tumpuan terarah kepada pelumba muda Itali itu yang merangkul gelaran pada usia 20 tahun 68 hari, lebih tiga tahun muda berbanding Sebastian Vettel ketika menjuarai kejuaraan pada tahun 2010.

Antonelli menjadi pelumba Itali pertama memenangi gelaran itu sejak Alberto Ascari pada tahun 1953.

“Kami berjaya. Saya tidak akan berada di sini tanpa Mercedes dan keluarga saya.

“Saya amat bersyukur dengan detik ini. Ia akan kekal bersama saya selama-lamanya. Saya tidak mampu berkata apa-apa dan masih cuba memahami apa yang berlaku.

“Ini musim yang luar biasa. Berkongsi podium dengan Max dan Lewis (Hamilton) juga sesuatu yang hebat. Saya menantikan lebih banyak persaingan pada masa depan,” kata Antonelli yang sebak selepas meraih sembilan kemenangan setakat musim ini.

Perlumbaan terbahagi kepada dua babak selepas dihentikan pada pusingan ke-46 daripada 71 pusingan susulan kemalangan membabitkan Valtteri Bottas dari Cadillac.

Penyerap hentakan bahagian depan kiri jentera pelumba Finland itu patah, menyebabkan rodanya membengkok dan kereta terbabas sebelum merempuh penghadang.

Bottas, 37, mengambil masa untuk keluar dari kereta, namun sempat melambai kepada penonton ketika berjalan meninggalkan lokasi kemalangan. Semua jentera lain kembali ke pit untuk menunggu perlumbaan disambung semula.

Antonelli, yang hanya perlu menamatkan perlumbaan dalam kelompok sembilan terbaik untuk mengesahkan gelaran, berada di tempat ketiga bersama Mercedes ketika perlumbaan dihentikan, di belakang Verstappen dari Red Bull dan Charles Leclerc dari Ferrari.

Pencabar terdekatnya yang juga rakan sepasukan, George Russell, tidak lagi berpeluang selepas permulaan buruk menyaksikannya jatuh dari petak kedua ke tempat kelima. Beliau turut bergelut dengan masalah kuasa jentera.

Russell perlu menang untuk mengekalkan harapan dalam perebutan gelaran.

Lewis Hamilton, yang memulakan perlumbaan dari petak utama dan juga perlu menang untuk menangguhkan pengesahan gelaran Antonelli, berang dengan rakan sepasukan Ferrari selepas insiden di permulaan yang menyaksikan Leclerc terbabas keluar dari litar sebelum merampas pendahuluan.

Pelumba Monaco itu dikenakan penalti lima saat, namun masih mengekalkan kedudukan di hadapan Hamilton.

Keadaan berubah selepas perlumbaan disambung apabila Hamilton memecut melepasi Antonelli dan Leclerc, sebelum bersentuhan roda dengan Verstappen dan kemudian berada di tempat kedua.

Bendera kuning sekali lagi dikibarkan apabila jentera Racing Bulls dipandu Arvid Lindblad terbabas 10 pusingan sebelum tamat selepas bersentuhan dengan McLaren milik Oscar Piastri.

Antonelli kekal di tempat ketiga ketika Hamilton terus memberi tekanan kepada Verstappen. Memang sesuai apabila pelumba muda Itali itu, yang menangis ketika melintasi garisan penamat, diiringi dua legenda perlumbaan dengan gabungan 11 gelaran dunia.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Zahirah MacWilson Mohon Maaf ‘Sentuh’ Kepercayaan Halloween

0
PETALING JAYA – Pelakon Zahirah MacWilson memohon maaf selepas hantaran media sosialnya mengenai sambutan perayaan tertentu mengundang kecaman, selain mengakui bahawa dirinya masih dalam...

CATEGORIES