Wednesday, November 4, 2026
HomeBERITA1,161 PPS Siap Sedia Hadapi Monsun Timur Laut di Selangor

1,161 PPS Siap Sedia Hadapi Monsun Timur Laut di Selangor

SHAH ALAM – Sebanyak 1,161 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti untuk beroperasi di seluruh Selangor bagi menghadapi kemungkinan banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026 yang dijangka berterusan sehingga Mac 2027.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin, berkata persiapan itu menjadi antara keutamaan kerajaan negeri dalam memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk terjejas sentiasa terpelihara, khususnya ketika berdepan risiko hujan lebat, limpahan sungai dan fenomena air pasang besar.

“Daripada jumlah keseluruhan PPS berkenaan, 696 membabitkan sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM), 242 dewan, 135 balai raya, manakala selebihnya sekolah bukan seliaan KPM, masjid, surau dan pusat komuniti.

“Semua agensi berkaitan perlu memastikan setiap PPS berada dalam keadaan bersedia, selamat dan dilengkapi kemudahan asas, bekalan makanan mencukupi serta tahap kebersihan yang baik di samping memberi perhatian kepada kebajikan golongan rentan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jamaliah berkata, bagi melancarkan penyelarasan antara agensi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor mempunyai kekuatan seramai 7,677 anggota daripada pelbagai agensi.

Katanya, keupayaan operasi disokong 708 kenderaan darat, 247 aset pengangkutan air serta peralatan operasi, termasuk 5,739 khemah, 1,950 jaket keselamatan, 141 pam air, 48 mesin pancuran air tekanan tinggi, 192 gergaji rantai dan 20 dron bagi mendukung operasi menyelamat, pemindahan serta bantuan kecemasan.

Beliau berkata, penyelarasan operasi, pemantauan kawasan berisiko dan kesiapsiagaan aset perlu dipastikan berada pada tahap optimum bagi membolehkan tindakan segera diambil sepanjang tempoh monsun ini.

“Berdasarkan unjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, jumlah hujan tahunan bagi tahun ini dianggarkan 2,232 milimeter (mm).

“Sehingga 1 November, dianggar 1,460mm atau 65 peratus daripada anggaran tahunan telah direkodkan, manakala November dan Disember dijangka menerima taburan hujan, masing-masing 268mm dan 230mm.

“Dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi risiko banjir sepanjang tempoh ini, JPS telah memastikan aset serta sistem pemantauan hidrologi berada pada tahap kesiapsiagaan optimum,” katanya.

Tambahnya, ketika ini, Selangor dilengkapi 221 stesen telemetri hujan, 124 stesen telemetri aras air, 140 siren amaran dan 72 kamera IP bagi membolehkan pemantauan keadaan cuaca serta paras air dilaksanakan secara berterusan.

“Selain itu, sebanyak 353 pintu air dan 161 unit pam tetap turut tersedia bagi menyokong pengurusan aliran air serta mempertingkat keupayaan operasi pengurusan banjir di seluruh negeri,” katanya.

Jamaliah berkata, JPS turut mengenal pasti 56 lokasi hotspot banjir dan 232 kawasan berisiko berdasarkan data asas 2025, dengan Klang mencatatkan hotspot tertinggi sebanyak 13 lokasi, diikuti Petaling (11), Gombak (10) dan Hulu Langat (9).

“Kerajaan negeri mengingatkan seluruh rakyat Selangor supaya sentiasa peka terhadap amaran cuaca dan banjir, mengambil langkah keselamatan sewajarnya seperti menyediakan beg kecemasan keluarga serta elakkan meredah jalan dinaiki air dan patuhi arahan pemindahan pihak berkuasa,” katanya.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Jangan Menyombong, Mungkin Itu Rahsianya – Ella

0
KUALA LUMPUR – Empat dekad penuh gemilang, Ratu Rock Negara Ella mengakui tiada formula khusus untuk mengekalkan populariti atau terus relevan dalam industri hiburan...

CATEGORIES