PETALING JAYA – Pengurus Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Rozi Abd. Razak menemui semula sepucuk surat dititipkan mendiang vokalis Linkin Park, Chester Bennington buat penyanyi nombor satu negara itu yang disimpan sejak 21 tahun lalu.
Rozi berkata, kewujudan surat yang pernah diceritakan sebelum ini ketika melakukan sesi siaran langsung bersama Siti dijumpai ketika dia sedang berkemas.
“Beberapa bulan lalu, saya ada cerita perkara ini sewaktu live bersama @ctdk (Siti). Kemas-kemas, saya jumpa semula surat daripada mendiang Chester (Linkin Park) 21 tahun lalu.
“Surat ini sampai ke bilik hotel saya dan Siti. Saya simpan sampai sekarang,” katanya menerusi hantaran di platform Threads.
Difahamkan, Siti dan kumpulan popular asal California, Amerika Syarikat itu sama-sama menghadiri majlis anugerah MTV Asia Awards di Bangkok, Thailand pada 2005.
Pada majlis itu, Siti memenangi trofi Artis Kegemaran Malaysia juga kemenangan keempatnya secara berturut-turut dari tahun 2002 hingga 2005.
Pada masa sama, Rozi berkata, perkongsian dibuat tidak mempunyai sebarang tujuan, sebaliknya sekadar mengimbau kenangan lama.
“Sebagai penjelasan, ini mengimbau sahaja, tiada tujuan lain,” ujarnya.
Melalui foto dikongsi, surat itu tertera nama penerima iaitu ‘Ms. (Cik) Siti Nurhaliza Binte (Binti) Tarudin’ di bilik 1017.
Dalam surat berkenaan, Bennington membuat permintaan agar Siti memakai topi dihadiahkannya ketika menghiburkan jemputan di acara yang berlangsung di Impact Arena, Bangkok itu.
“Kepada Ms Siti Nurhaliza Binte (binti) Tarudin. Harap dapat pakai topi ini di pentas malam ini. Terima kasih,” tulisnya.
Dalam perkongsian lain, Rozi kemudian menjelaskan mengenai topi yang dikaitkan dengan kenangan tersebut termasuk punca artis jagaannya tidak memenuhi permintaan tersebut.
Menurutnya, Siti tidak mengenakan aksesori itu kerana kurang bersesuaian dengan penampilannya ketika menyampaikan lagu Seindah Biasa.
“Siti tak pakai topi itu sebab tak sesuai dengan penampilan. Kalau periksa (semak) semula, dia pakai baju kebaya labuh dan seluar.
“Kalau tanya mana topi itu? Dah 21 tahun, mungkin di rumah lama atau memang sudah tiada. Lama sangat ni,” ujarnya.
Bennington yang merupakan vokalis utama Linkin Park meninggal dunia pada 20 Julai 2017 ketika berusia 41 tahun.
Sumber – KOSMO! ONLINE





