KUALA LUMPUR – Selepas menjalani tempoh percubaan bersama pasangan berbeza, pemain badminton negara, Aaron Chia bersedia kembali bergandingan dengan Soh Wooi Yik dalam misi memburu pingat emas Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Aaron berkata, dia bersama Wooi Yik memahami sasaran yang diletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bersedia memberikan segala-galanya apabila kempen kelayakan Olimpik bermula Mei tahun depan.
Menurut pemain beregu lelaki negara itu, sebaik sahaja Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 berakhir, mereka akan kembali memberi fokus sepenuhnya sebagai pasangan dalam usaha membina semula momentum menjelang saingan kelayakan Olimpik.
“Saya rasa memang sudah jelas daripada BAM, sebaik sahaja Sukan Asia berakhir, kami akan kembali kepada gandingan asal. Kami ikut sahaja perancangan jurulatih dan fokus kepada apa yang patut.
“Memang sentiasa ada KPI (Petunjuk Prestasi Utama) buat kami sebab kami paling senior di BAM. Kami juga ada meletakkan KPI pada diri sendiri kerana apabila kelayakan (ke Olimpik) bermula tahun depan, kami akan berikan segala-galanya,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.
Sebelum ini, barisan kejurulatihan beregu lelaki negara melakukan eksperimen gandingan sejak Jun lalu dengan beberapa pasangan diuji bersama pemain berbeza bagi mencari kombinasi terbaik.
Namun, Aaron-Wooi Yik kembali digandingkan pada Kejohanan Dunia di New Delhi, India, bulan lalu dan percaturan itu membuahkan hasil apabila mereka muncul naib juara dunia.
Selepas masa depan mereka menjadi perdebatan, BAM akhirnya memutuskan Aaron-Wooi Yik akan kembali membentuk gandingan tetap bagi menghadapi LA28.
Sebelum kembali bersama Wooi Yik, Aaron akan menggalas cabaran bersama Tee Kai Wun di Sukan Asia Aichi-Nagoya yang membuka tirai Sabtu ini.
Aaron berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk kembali bergandingan dengan Wooi Yik kerana mereka sudah lama memahami corak permainan masing-masing.
“Bagi saya, memang tidak ada masalah untuk berganding semula dengan Wooi Yik kerana kami sudah lama bersama.
“Kami tahu cara permainan masing-masing. Harap selepas Sukan Asia, kami akan kembali fokus kepada pasangan masing-masing,” katanya.
Aaron turut melihat perubahan gandingan sebelum ini sebagai sebahagian daripada proses untuk meningkatkan prestasi pemain dan memberikan motivasi baharu.
Aaron-Wooi Yik sebelum ini meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024, selain mencipta sejarah muncul juara dunia pada 2022 sebelum menamatkan kempen Kejohanan Dunia 2026 sebagai naib juara.
Selepas Sukan Asia, Aaron dan Wooi Yik akan kembali menjalani latihan bersama sebelum menyertai siri kejohanan Jelajah Dunia Eropah termasuk Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka Hylo sebagai persiapan menghadapi saingan kelayakan Olimpik LA28.
Sumber – Berita Harian





