Tuesday, November 10, 2026
HomePERNIAGAANMalaysia Airlines Tawar Pengalaman Eksklusif Tonton Aksi Manchester United

Malaysia Airlines Tawar Pengalaman Eksklusif Tonton Aksi Manchester United

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines menawarkan pengalaman eksklusif menyaksikan aksi Manchester United di Old Trafford, termasuk penerbangan kelas perniagaan pergi balik ke London, kepada pelanggan yang membuat tempahan penerbangan secara terus menerusi laman web atau aplikasi mudah alih syarikat penerbangan itu.

Menerusi peraduan yang berlangsung dari 10 November hingga 10 Disember 2026 itu, pelanggan dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand berpeluang memenangi pakej eksklusif berkenaan yang turut merangkumi akses ke Malaysia Airlines VIP Corporate Box di Stadium Old Trafford.

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan berkata, peraduan itu menawarkan empat hadiah utama dan 20 hadiah saguhati sepanjang tempoh kempen berkenaan.

Setiap pemenang hadiah utama akan menerima pengalaman eksklusif untuk dua orang, termasuk dua tiket penerbangan kelas perniagaan pergi balik ke London, lawatan ke muzium dan stadium Manchester United serta peluang menyaksikan sesi latihan pasukan utama secara eksklusif.

Sementara itu, setiap pemenang hadiah saguhati akan menerima jersi rasmi Manchester United yang ditandatangani sebagai cenderahati daripada kelab bola sepak berkenaan.

Pemenang akan diumumkan setiap minggu, manakala pengesahan akhir dijadualkan pada Mac 2027 selepas semua keperluan perjalanan dipenuhi.

Bagi menyertai peraduan itu, pelanggan perlu membuat tempahan mana-mana penerbangan kendalian Malaysia Airlines menerusi laman web rasmi atau aplikasi mudah alih syarikat penerbangan itu sepanjang tempoh kempen, bagi perjalanan sehingga 28 Februari 2027.

Pelanggan seterusnya perlu melengkapkan dan menghantar borang penyertaan menerusi laman web peraduan dengan setiap nombor rujukan tempahan (PNR) yang sah melayakkan pelanggan mendapat satu penyertaan.

Bagaimanapun, penerbangan perkongsian kod tidak layak menyertai peraduan berkenaan.

Malaysia Airlines berkata, pelanggan yang membuat tempahan secara terus turut menikmati beberapa manfaat tambahan termasuk perubahan tarikh tanpa had bagi tambang Flex, pemulangan wang bagi permohonan visa yang tidak berjaya serta tambang khas kanak-kanak.

Inisiatif itu mencerminkan usaha syarikat penerbangan berkenaan memperluas nilai tawaran kepada pelanggan menerusi pengalaman perjalanan premium dan peluang eksklusif di luar perkhidmatan penerbangan.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Nam Ron Dan June Lojong Terkejut Tercalon ABPBH 38

0
KUALA LUMPUR – Pasangan pelakon suami isteri, Nam Ron dan June Lojong, masing-masing terkejut apabila berjaya melangkah ke senarai calon Anugerah Bintang Popular Berita...

CATEGORIES