Tuesday, November 10, 2026
HomeHIBURANNam Ron Dan June Lojong Terkejut Tercalon ABPBH 38

Nam Ron Dan June Lojong Terkejut Tercalon ABPBH 38

KUALA LUMPUR – Pasangan pelakon suami isteri, Nam Ron dan June Lojong, masing-masing terkejut apabila berjaya melangkah ke senarai calon Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-38.

Nam Ron dicalonkan dalam kategori Aktor Pembantu Filem Popular manakala isterinya, June bersaing dalam kategori Aktres Filem Popular.

Nam Ron berkata, pencalonan ABPBH 38 disifatkan di luar jangkaan mereka, apatah lagi dia tidak pernah menyangka dirinya mendapat perhatian di platform berteraskan populariti itu.

“Rasanya ini kali pertama kami dicalonkan. Mungkin pencalonan sebelum ini saya tidak tahu. Memang terkejut sebab tiba-tiba boleh tercalon pula,” katanya.

Bagaimanapun, Nam Ron menghargai pencalonan itu kerana berpandangan anugerah berasaskan populariti mampu membuka lebih banyak peluang dan ruang kerjaya buat seseorang pelakon.

Akuinya, pengiktirafan populariti mempunyai nilai tersendiri dalam industri hiburan kerana menjadi antara pertimbangan syarikat produksi ketika memilih pelakon.

“Kalau kita menang kategori popular, peluang untuk dapat tawaran dan projek lain akan lebih cerah. Kalau terima anugerah Pelakon Terbaik pun sama, tetapi jika dibandingkan, anugerah berdasarkan populariti boleh memberilebih banyak peluang.

“Dalam konteks perniagaan hiburan atau ‘show business’, populariti penting untuk menarik penonton. Syarikat produksi pilih seseorang pelakon kerana mereka percaya individu itu mampu menarik penonton ke pawagam. Itulah yang kita anggap sebagai populariti,” katanya.

Bagaimanapun, Nam Ron berpandangan ukuran populariti dalam industri hiburan tempatan kini dilihat semakin cenderung kepada jumlah pengikut seseorang selebriti di media sosial.

Sebaliknya, beliau percaya populariti tidak seharusnya dinilai berdasarkan angka pengikut semata-mata kerana pengiktirafan penonton terhadap seseorang pelakon turut boleh dilihat menerusi penerimaan mereka terhadap karya yang dihasilkan.

“Saya selalu cakap saya tidak popular sebab pengikut saya tidak berjuta-juta. Tetapi kalau pergi mana-mana pun orang kenal saya.

“Saya pergi penggambaran atau promosi filem di negeri lain, orang kenal juga. Maknanya saya popular juga, cuma orang anggap saya tidak popular sebab pengikut tidak ramai,” katanya.

Justeru, Nam Ron tidak meletakkan harapan tinggi untuk membawa pulang trofi ABPBH 38, mengambil kira persaingan dalam kategori populariti yang lazimnya membabitkan selebriti dengan sokongan kelab peminat tersendiri.

“Harapan itu tidak ada. Kami datang pun sekadar untuk berjumpa kawan-kawan dan orang yang sudah lama tidak ditemui. Jadi, kami bukan datang dengan harapan untuk menang. Dari awal pun kami tidak letak sebarang harapan,” katanya.

June turut berkongsi reaksi terkejut apabila mengetahui namanya tersenarai sebagai calon ABPBH 38.

Pelakon yang dikenali menerusi watak Maria Hadi dalam filem Polong itu tidak pernah menyangka namanya akan mendapat perhatian sehingga tercalon dalam kategori Aktres Filem Popular.

“Memang ada orang yang tidak kenal siapa June Lojong, tetapi mereka akan panggil, Kak Mar sebab nama watak saya, Maria Hadi dalam filem Polong.

“Rasa terharulah apabila watak itu masih melekat dalam ingatan mereka. Maknanya, ada peminat yang suka watak Maria itu,” katanya.

Bagaimanapun, June menegaskan pencalonan berkenaan bukan sesuatu yang menjadi keutamaan dalam perjalanan seninya. Beliau lebih mengutamakan peluang untuk terus berkarya berbanding mengejar populariti atau anugerah.

“Pada awalnya apabila tahu tercalon, saya tergelak juga. Popularkah saya? Tetapi bagi saya, tidak mengapa jika peluang itu diberikan kepada orang lain kerana saya pernah merasai kemenangan.

“Saya menceburi bidang seni untuk berkarya, bukan mengejar populariti atau anugerah. Apa yang penting, saya berharap mendapat peluang untuk terus berkarya.

“Sebelum ini saya pernah terima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, tetapi peluang berlakon selepas itu agak kurang,” katanya.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Laman Web Bank Rakyat Alami Gangguan

0
  KUALA LUMPUR: Portal korporat Bank Rakyat dilaporkan mengalami gangguan capaian buat sementara waktu. Bank Rakyat menerusi pemakluman di laman Facebook rasminya, menasihati pelanggan agar menggunakan...

CATEGORIES