CYBERJAYA – Persatuan Penghantar dan Pemandu E-Hailing Malaysia (TPAD) menggesa Grabcar Sdn. Bhd. (Grab) menghentikan mekanisme penerimaan tempahan secara automatik (auto accept) yang didakwa menyekat kebebasan pemandu untuk memilih tugasan.
Ia susulan keputusan Tribunal Pekerja Gig mendapati sistem itu melanggar peruntukan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).
Presidennya, M Nathan, berkata mekanisme berkenaan sepatutnya dijadikan ciri pilihan (opt-in) dan bukannya dilaksanakan secara paksaan.
Beliau berkata, selain mekanisme ‘auto accept’, dua lagi pelanggaran dikenal pasti membabitkan penggantungan tempahan sementara dan kuota pembatalan (cancellation quota).
“Tribunal mendapati kegagalan Grab mendedahkan dengan secukupnya syarat yang mencetuskan penggantungan tempahan sementara serta kemungkinan tempoh penggantungan adalah satu pelanggaran.
“Begitu juga kuota pembatalan apabila maklumat mencukupi mengenai faktor penentuan kuota dan kesan apabila kuota habis digunakan tidak diberikan kepada pemandu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, pemandu e-hailing, P Prabu berjaya memperoleh ‘award’ tribunal terhadap tiga daripada tujuh tuntutan yang dikemukakan di bawah Akta 872.
Prosiding berlangsung yang di hadapan Timbalan Presiden Tribunal Pekerja Gig, Dr Suzarika Sahak, mendapati kegagalan pengendali perkhidmatan e-hailing itu mendedahkan dengan secukupnya syarat yang mencetuskan penggantungan tempahan sementara dan kemungkinan tempoh penggantungan adalah pelanggaran subseksyen 8(1)(a) serta perenggan 8(2)(a) dan (b) Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).
Selain itu, tribunal mendapati kegagalan memberikan maklumat yang mencukupi mengenai pengendalian kuota pembatalan, termasuk faktor penentuan kuota dan akibat apabila kuota habis digunakan adalah pelanggaran subseksyen 8(2)(a) dan (b) Akta 872.
Tribunal juga mendapati bahawa pengendalian mekanisme ‘auto-accept’, yang membolehkan tempahan diterima secara automatik sebelum pemandu berpeluang mempertimbangkan maklumat jenis perkhidmatan dan pendapatan serta membuat keputusan untuk menerima tempahan adalah pelanggaran subseksyen 8(1)(b) dan (c) Akta 872.
Susulan keputusan itu, tribunal mengesyorkan Grab melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap sistem pengendalian tempahan dan kebajikan pemandu e-hailing.
Antara syor dikemukakan ialah menjelaskan syarat, tempoh serta kesan penggantungan tempahan sementara, termasuk membezakan penolakan tempahan melalui fungsi Fast Cancel dengan pembatalan selepas tempahan diterima.
Bagi isu kuota pembatalan pula, tribunal mengesyorkan Grab menjelaskan kaedah penentuan kuota, kesan apabila kuota habis digunakan serta menyediakan bantuan segera bagi pembatalan membabitkan keselamatan, kesilapan sistem atau keadaan di luar kawalan pemandu.
Tribunal turut mengesyorkan penambahbaikan prosedur berkaitan keperluan menunggu lima minit, perubahan destinasi dan kesilapan sistem, termasuk memastikan tambang baharu dipaparkan sebelum perjalanan ke destinasi yang diubah diteruskan.
Selain itu, Grab disyorkan mempertimbangkan pelaksanaan sistem penarafan dua hala yang membolehkan pemandu melihat penarafan penumpang sebelum menerima tempahan, dengan mengambil kira aspek privasi dan keselamatan kedua-dua pihak.
Dalam aspek penerimaan tempahan, tribunal mengesyorkan pemandu diberikan pilihan mengaktifkan atau menyahaktifkan fungsi ‘auto accept’ pada bila-bila masa, selain memastikan pilihan penerimaan manual terus tersedia tanpa menjejaskan hak statutori pemandu.
Tribunal turut mengesyorkan Grab meningkatkan ketelusan algoritma, termasuk menjelaskan faktor utama pengiraan tambang, syarat pelarasan anggaran perjalanan serta mempertimbangkan audit berkala terhadap ketepatan tambang dan sistem.
Bagi pengendalian aduan pula, Grab disyorkan menambah baik akses kepada bantuan manusia, khususnya dalam keadaan mendesak, selain menyediakan nombor rujukan aduan, penjelasan berhubung penutupan aduan serta akses munasabah kepada rekod aduan.
Sumber – Berita Harian





