KUALA LUMPUR – Jasa dan pengorbanan generasi terdahulu yang mewarnai industri seni tanah air terus dihargai apabila seramai 20 artis veteran menerima sumbangan wang tunai daripada Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN).
Sumbangan itu disampaikan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, bersama Presiden SENIMAN, Rozaidi Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi, pada hari terakhir program Rentak Budaya, Ahad lalu.
Antara artis veteran yang menerima sumbangan ialah Abon, Zaiton Sameon, Ebby Saiful, Yank Kassim, Shahriza Mahmud, Rahim Kidol dan Norly Tamam.
Zed Zaidi berkata, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha SENIMAN mendekati serta menghargai penggiat seni, khususnya golongan veteran yang banyak menyumbang kepada perkembangan industri hiburan negara.
Katanya, Rentak Budaya bukan sekadar platform mengetengahkan seni, budaya dan hiburan, malah turut menjadi wadah menyemai semangat kebersamaan serta keprihatinan terhadap warga seni.
“Artis veteran antara individu yang membina dan mewarnai industri seni tanah air sejak sekian lama. Sumbangan ini mungkin sederhana, tetapi lebih penting ialah mesej bahawa jasa dan pengorbanan mereka sentiasa dihargai serta tidak dilupakan,” katanya.
Sementara itu, Hans berkata, FINAS turut meneruskan pelaksanaan Dana Supertelefilem Artis Veteran (STAR) di bawah Dana Kandungan Kreatif (DKD) bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penggiat seni berusia 55 tahun ke atas.
Beliau berkata, dana berkenaan bertujuan memberi peluang kepada artis veteran membawakan watak utama atau pembantu utama dalam penerbitan supertelefilem.
“Antara kriteria utama Dana STAR ialah 60 peratus tenaga kerja bagi setiap penerbitan terdiri daripada artis dan kru veteran, manakala baki 40 peratus membabitkan tenaga kerja muda atau umum,” katanya.
Inisiatif berkenaan mencerminkan usaha berterusan badan industri dan persatuan penggiat seni dalam menjaga kebajikan serta kesejahteraan warga seni, terutama mereka yang sudah lama menyumbang kepada industri.
Selain penyampaian sumbangan, pengunjung pada hari terakhir Rentak Budaya turut disajikan dengan pelbagai persembahan yang menggabungkan elemen seni, budaya dan seni mempertahankan diri.
Antara yang menarik perhatian ialah persembahan Muay Thai, Silat Harimau Rimba dan Gendang 24 Musim yang mengetengahkan kepelbagaian seni serta warisan budaya negara.
Suasana semakin meriah apabila kumpulan Kristal X tampil menghiburkan pengunjung di Padang Merbok menerusi persembahan lebih sembilan lagu rock bertenaga.
Berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November lalu, Rentak Budaya menghimpunkan penggiat seni, penggiat budaya dan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti serta persembahan di dua lokasi, iaitu Padang Merbok dan River of Life, Kuala Lumpur.
Program anjuran dengan kerjasama rakan strategik termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu diharap dapat memperkukuh hubungan masyarakat dengan penggiat seni dan budaya tempatan, selain memastikan sumbangan generasi terdahulu terus dikenang.
Sumber – Berita Harian





