SHAH ALAM – Lelaki yang tular kerana melakukan ritual agama lain, Aliff Daniel Adli, memohon serta menyeru pihak atau individu yang terpengaruh dengan perbuatannya supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.
Dalam kenyataan lafaz taubat, Aliff Daniel, 21, mengakui perbuatannya melakukan ritual agama lain adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan agama Islam dan bercanggah dengan prinsip aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Beliau berkata, ia juga boleh mencetuskan perbuatan tidak mengikut atau melanggar aturan Islam sebagai agama yang sempurna, lengkap dalam mengatur kehidupan umatnya.
“Perbuatan saya juga boleh atau telah menyebabkan lahirnya suatu bentuk penghinaan terhadap agama Islam, selain sudah mengambil tempat terhadap penolakan objektif atau matlamat pensyariatan sesuatu hukum Islam.
“Saya juga sedar perbuatan saya sudah menyebabkan kegusaran awam, kekeliruan serta penyebab mencetuskan kecenderungan kepada ganggu gugat keamanan dan ketenteraman awam.
“Oleh yang demikian, saya sangat menginsafi, menyesali dan berjanji pada diri saya bahawa saya tidak sama sekali akan mengulangi pada bila-bila masa dengan apa jua cara yang boleh membawa kepada keadaan yang sudah dinyatakan.
“Dengan ini, saya sesungguhnya bertaubat kembali ke pangkal jalan, berusaha untuk belajar, mendalami dan mengamalkan ajaran Islam berdasarkan pengetahuan ilmu yang benar,” katanya pada Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Aliff Daniel berkata, beliau turut berazam untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik daripada sebelumnya dan menyakini akidah Islam yang jazam serta bertingkah laku mengikut akhlak Islam.
“Justeru itu, saya memohon dan menyeru pada semua pihak atau mana-mana individu yang terpengaruh dengan perbuatan saya sebelum ini agar segera menghentikan apa-apa bentuk kepercayaan atau keyakinan yang terbina berdasarkan perbuatan saya itu dan kembalilah kepada Islam yang sebenar.
“Akhirnya, saya menyeru kepada semua agar apa jua bentuk ritual atau pelaku berkaitan kepercayaan beragama dan pengamalan agama Islam rujuk dan mohonlah nasihat, bimbingan dari guru yang betul berhukum atau berhubung terus dengan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Mufti Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri,” katanya.
Terdahulu, Aliff Daniel bersama ibunya, Rohizayanti Ramli, 52, dan adiknya, Nur Ranea Ezreen Adli, 19, mengumumkan pengisytiharan taubat (Istitabah) secara terbuka hari ini.
Sumber – Berita Harian





