Tuesday, November 10, 2026
HomeHIBURAN‘Naik Bintik Merah Ketika Maghrib, Sampai Hospital Terus Hilang’

‘Naik Bintik Merah Ketika Maghrib, Sampai Hospital Terus Hilang’

KOTA DAMANSARA – “Setiap kali saya mahu mengeluarkan produk atau melancarkan sesuatu yang besar, pasti ada perkara pelik berlaku.”

Demikian luahan usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, 39, yang mendakwa dirinya sekeluarga kerap berdepan kejadian aneh setiap kali syarikatnya merancang sesuatu yang besar.

Terbaharu, isterinya, Datin Seri Shahida, mengalami kegatalan selain muncul bintik-bintik merah di seluruh badan secara tiba-tiba sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital kelmarin.

Menurut Aliff, keadaan isterinya yang pada awalnya dipenuhi ruam kemerahan dari kaki hingga ke muka bagaimanapun berubah sebaik sahaja mereka tiba di hospital.

“Saya nak ceritakan perkara sebenar. Kelmarin isteri saya dimasukkan ke wad selepas seluruh badannya, dari kaki hingga ke muka, dipenuhi bintik-bintik merah.

“Kejadian itu berlaku ketika waktu Maghrib. Apabila melihat keadaannya begitu, saya terus bawa dia ke hospital. Namun, sebaik sahaja sampai di hospital, tiba-tiba semua bintik merah itu hilang.

“Perkara ini tidak mustahil ada kaitan dengan sihir. Setiap kali kami nak buat promosi besar-besaran, pasti ada perkara pelik berlaku kepada keluarga kami,” katanya.

Dakwaan kejadian misteri itu timbul ketika syarikatnya, D’Herbs, sedang membuat persiapan untuk mengadakan jualan besar-besaran menerusi TikTok pada 10 November ini selain jualan gudang sempena hujung tahun di wisma syarikat berkenaan.

Tambah pelakon filem Badang itu, dia sekeluarga juga pernah mengalami masalah sakit mata yang berlarutan selama sebulan, namun perkara itu menimbulkan tanda tanya apabila pembantu rumah dan pekerjanya tidak dijangkiti.

“Bayangkan kami sekeluarga mengalami sakit mata selama sebulan. Apa yang menghairankan, pembantu rumah dan pekerja saya langsung tidak terkena jangkitan.

“Sedangkan pembantu rumah yang paling kerap bersama anak-anak saya, tetapi seorang pun tidak dijangkiti,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aliff memaklumkan tiga daripada anaknya, iaitu Ammar Ahyan, Baem dan Raudhah, kini turut ditahan di wad selepas dijangkiti Influenza A.

Mengakui berat hati berdepan situasi itu, Aliff berkata dia terpaksa meneruskan komitmen kerja di Johor, manakala Shahida tidak dapat menemaninya kerana perlu menjaga anak-anak mereka.

“Allah sahaja yang tahu betapa sedihnya saya. Saya ada komitmen kerja di Johor. Akhirnya, isteri tidak dapat ikut kerana perlu menjaga anak-anak.

“Sebaik sahaja selesai urusan kerja di Johor, saya terus pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Laman Web Bank Rakyat Alami Gangguan

0
  KUALA LUMPUR: Portal korporat Bank Rakyat dilaporkan mengalami gangguan capaian buat sementara waktu. Bank Rakyat menerusi pemakluman di laman Facebook rasminya, menasihati pelanggan agar menggunakan...

CATEGORIES