MELAKA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan serangan siber yang menyasarkan laman web rasminya ketika proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata pihaknya belum menerima maklumat lengkap berhubung perkara itu.
“Saya tak dapat laporan penuh lagi. Insya-Allah SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam tempoh terdekat berhubung perkara itu.
“Kita sama-sama berdoa serangan siber ini tidak menyerang laman web SPR kerana ia amat penting dalam melaksanakan pilihan raya ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak, di sini hari ini.
Ramlan berkata, SPR sudah menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan keselamatan sistemnya terus terpelihara daripada sebarang cubaan pencerobohan.
“SPR bekerjasama dengan semua autoriti berkaitan untuk memastikan perkara itu tidak berlaku,” katanya.
Ditanya sama ada SPR akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), beliau memaklumkan, kerjasama dengan pihak berkaitan sudah dilaksanakan.
“Kita sudahpun bekerjasama dan dalam tindakan untuk melindungi sistem kita daripada dicerobohi,” katanya.
Sumber – Berita Harian





