SEREMBAN – Pengamal media tidak dibenarkan memasuki Wisma Negeri hari ini susulan pengumuman Istana Negeri Sembila bahawa Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku MUnawir membatalkan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ( EXCO), lewat malam tadi.
Pengawal keselamatan yang bertugas memaklumkan media hanya dibenarkan masuk sekiranya disahkan oleh pihak berkaitan yang ingin ditemui.
“Saya hanya ikut arahan ketua saja,” katanya turut memaklumkan bahawa tiada kenderaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan yang memasuki bangunan terbabit setakat 10 pagi.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki dipercayai ketua pengawal keselamatan di situ mengesahkan arahan yang diterima dan memberitahu media hanya dibenarkan masuk dengan surat kebenaran.
“Untuk apa? Ada surat? Ada kebenaran? Untuk media masuk, perlu ada satu hitam putih,” katanya ringkas sambil turut memaklumkan hanya mengikut arahan.
Lewat tengah malam tadi, media melaporkan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan EXCO kerajaan negeri, berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua EXCO terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka.
Perkembangan itu menyusul selepas Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Ismail dipetik berkata, perkara itu diputuskan secara sebulat suara oleh semua ahli MMK pada mesyuarat 15 September lalu.
Setakat jam 11 pagi, media masih gagal mendapatkan perkembangan lanjut berhubung situasi terkini, termasuk keberadaan Ismail.
Tinjauan di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar di sini turut mendapati tidak kelihatan kenderaan keluar masuk ke premis berkenaan.
Sumber – Berita Harian





