PETALING JAYA – Pelakon Che Puan Sarimah Ibrahim mendedahkan pernah menolak beberapa tawaran lakonan di Hollywood berikutan perlu melakukan babak intim.
Menurut Sarimah, 48, antara tawaran yang terpaksa dilepaskan adalah siri popular Netflix, Wednesday dan Nine Perfect Strangers meskin namanya ada dalam senarai pendek.
“Saya mendapat banyak peluang dan salah satunya watak dalam siri Netflix Wednesday.
“Ini adalah rakaman daripada uji bakat saya. Saya berjaya disenarai pendek tetapi babak itu memerlukan saya mencium pelakon lain secara ‘close up’
“Jadi, sudah tentu semua itu tidak menjadi kerana saya menolak,” katanya dalam satu hantaran Threads.
Bukan sahaja Wednesday, dia turut menjalani sesi uji bakat untuk drama Nine Perfect Strangers dan sekali lagi memutuskan menolak tawaran kerana diminta melakukan adegan tidak sepatutnya.
“Satu lagi watak yang saya berjaya disenarai pendek adalah siri lakonan Nicole Kidman iaitu Nine Perfect Strangers.
“Drama ini juga memerlukan adegan bercium dan babak memakai bikini. Saya menolaknya juga,” katanya lagi.
Katanya, terdapat pertimbangan tertentu yang perlu dilakukan sebelum menerima sebarang tawaran terutama apabila tidak selari dengan pendiriannya sebagai wanita beragama Islam.
“Sebenarnya kita bukan tidak berbakat sebaliknya berpegang prinsip moral yang tinggi.
“Di Asia atau negara-negara Islam bukannya tidak ada individu yang berbakat. Cuma, ramai antara kita tidak sanggup berkompromi dengan prinsip dan maruah diri.
“Kita semua mempunyai pendirian yang berbeza. Jadi, jangan sesekali menghakimi,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia memaklumkan ada bebarapa lagi peluang lakonan di Hollywood yang diterima namun tidak diteruskan atas faktor sama.
“Ada lagi peluang yang saya terima sebelum ini, malangnya semua itu adababak intim yang tidak menggunakan pelakon pengganti atau ‘double body’ kerana kita bukanlah pelakon gred A di Hollywood atau United Kingdom.
“Saya sudah menjalani latihan, bertemu ejen dan jurulatih, tetapi begitulah situasinya,” jelasnya
Menerusi hantaran sama, dia turut memuat naik tangkap layar video yang dihantar untuk sesi uji bakat bagi drama Wednesday yang dibintangi Jenna Ortega, Catherine Zeta-Jones dan Emma Myers.
Terdahulu, Sarimah menerusi satu hantaran balas dalam Threads memaklumkan pernah menerima tawaran berlakon di Hollywood namun terpaksa menolak kerana perlu menjayakan adegan panas.
Katanya, individu yang sanggup melakukan babak sebegitu akan diterima oleh syarikat produksi dan sekiranya menolak, nama mereka akan digugurkan dari senarai pelakon.
Sumber – KOSMO! ONLINE





