KOTA BHARU – Jabatan Penjara menafikan sekeras-kerasnya dakwaan penyanyi dan komposer, Yasin atau Muhammad Yasin Sulaiman, 51, yang mengatakan bekalan dadah mudah diperoleh ketika tahanan menjalani hukuman di sebalik tirai besi itu.
Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Komisioner Penjara, Mohamad Rosidek Musa berkata, kesemua pusat tahanan itu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan ketat.
“Saya tegaskan, dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Dalam penjara, kita mempunyai konteks kepenjaraan dan peraturan bagi mengatasi perkara negatif.
“Kita mempunyai SOP dan kawalan ketat di semua penjara di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Program Bookathon di Penjara Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Yasin mendakwa bekalan dadah boleh menembusi penjara walaupun pemeriksaan keselamatan ketat dikenakan terhadap banduan baharu ketika menjadi tetamu sebuah audio siar (podcast) baru baru ini.
Bagaimanapun, Mohamad Rosidek enggan mengulas lebih lanjut mengenai dakwaan penyanyi berkenaan.
Katanya, kawalan dan SOP di institusi penjara sentiasa dikaji secara berperingkat bagi mengekang perkara negatif daripada berlaku.
“Saya akui ada perkara negatif berlaku, tetapi tidak seperti yang dinyatakan penyanyi tersebut. Di penjara, kita perlu fokus dalam menangani sebarang kes termasuk kejayaan prospek, selain sentiasa berusaha mengatasi perkara negatif dan mereka yang melakukan kesalahan diambil tindakan,” ujarnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE





