MADRID – George Russell mengakui peluangnya memburu gelara dunia Formula Satu (F1) musim ini semakin tipis selepas ketinggalan 81 mata di belakang rakan sepasukannya di Mercedes, Kim Antonelli.
Kemenangan Antonelli pada Grand Prix Sepanyol di Madrid, semalam mengukuhkan kedudukan pelumba Itali itu di puncak selepas 14 perlumbaan.
Kejayaan itu adalah kemenangan kelapan Antonelli, 20, musim ini, satu lebih banyak berbanding Russell yang sudah berusia 28 tahun dan hanya meraih tujuh kemenangan sepanjang kariernya yang bermula bersama Williams pada 2019.
Dengan musim dijadualkan berakhir di Qatar dan Abu Dhabi, terdapat sama ada sembilan atau lapan perlumbaan berbaki bergantung kepada perkembangan di Timur Tengah.
Jumlah itu boleh berkurang kepada lapan sekiranya Litar Imola di Itali yang terletak paling hampir dengan kampung halaman Antonelli di Bologna menggantikan perlumbaan di Teluk seperti yang dijangka.
Secara keseluruhan, maksimum 233 mata masih boleh diraih termasuk perlumbaan pecut di Singapura.
“Kami jelas berada dalam kedudukan yang sangat baik untuk memenangi kejuaraan lategori pengeluar.
“Secara realistik, saya tidak lagi berada dalam perebutan gelaran pemandu. Jadi, keadaan itu membolehkan saya memberi tumpuan kepada setiap perlumbaan dan cuba mendapatkan keputusan yang baik,” kata Russell selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
Russell sebelum musim bermula dianggap sebagai pilihan utama untuk meraih gelaran berdasarkan ramalan rumah pertaruhan, namun setakat ini dia hanya memenangi dua perlumbaan.
Mercedes pula semakin kukuh dalam perebutan kejuaraan pengeluar apabila kini memiliki kelebihan 145 mata berbanding Ferrari yang menduduki tempat kedua. -REUTERS
Sumber – Berita Harian





