Monday, September 14, 2026
HomeBERITALawatan PM Ke Maldives Kukuhkan Hubungan Dua Hala

Lawatan PM Ke Maldives Kukuhkan Hubungan Dua Hala

KOZHIKODE, India – Malaysia dan Maldives dijangkan memperkukuh hubungan dua hala menerusi pemetraian serta pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) sempena lawatan negara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke negara kepulauan itu selama dua hari bermula hari ini.

MoU berkenaan dijangka menyediakan kerangka baharu bagi kerjasama dalam bidang terpilih yang mempunyai kepentingan bersama, ketika kedua-dua negara berusaha memperluas hubungan melangkaui kerjasama pembangunan tradisional kepada bidang ekonomi dan strategik baharu.

Lawatan negara Anwar atas jemputan Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu, itu adalah kunjungan pertama beliau ke Maldives sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2022.

Jemputan berkenaan disampaikan Muizzu ketika lawatan rasmi beliau ke Malaysia pada April 2025.

Sepanjang lawatan itu, Anwar dijadual mengadakan perbincangan rasmi dengan Muizzu bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala dan pelbagai hala, selain mengenal pasti ruang baharu untuk perkongsian antara kedua-dua negara.

Perbincangan itu dijangka turut meliputi bidang ekonomi, pelancongan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembangunan, selain meneroka peluang untuk memperkukuh hubungan institusi serta kerjasama perniagaan ke perniagaan.

Kedua-dua pemimpin turut dijadual menyaksikan pertukaran MoU dalam beberapa perkara berkaitan dua hala, sekali gus mencerminkan hasrat kedua-dua kerajaan untuk menterjemahkan hubungan diplomatik yang telah lama terjalin kepada bentuk kerjasama lebih konkrit.

Sepanjang berada di Maldives, Anwar juga dijadual menerima kunjungan hormat Naib Presiden Maldives, Uz Hussain Mohamed Latheef; Speaker People’s Majlis, Abdul Raheem Abdulla; serta Menteri Luar, Iruthisham Adam.

Malaysia dan Maldives menjalin hubungan diplomatik selama 58 tahun, dengan hubungan kedua-dua negara disokong oleh hubungan rakyat dengan rakyat yang kukuh, pertukaran peringkat tinggi secara berkala serta kerjasama pembangunan yang sudah lama terjalin.

Hubungan itu turut mendapat manfaat daripada peranan Malaysia dalam menyokong pembangunan kapasiti dan modal insan di Maldives, manakala kepakaran serta institusi Malaysia menyumbang kepada pembangunan kemahiran dan keupayaan profesional di negara kepulauan berkenaan.

Kedua-dua negara turut mempunyai hubungan rapat menerusi sektor pelancongan dan pendidikan, manakala Malaysia menjadi antara destinasi penting bagi rakyat Maldives yang mendapatkan pendidikan tinggi, penjagaan kesihatan dan peluang perniagaan.

Bagi Maldives, pengalaman Malaysia dalam bidang seperti pembangunan pelancongan, pendidikan, penjagaan kesihatan, kewangan Islam, pendigitalan dan pembangunan modal insan menawarkan ruang untuk memperluas kerjasama ketika negara kepulauan itu berusaha mempelbagaikan serta memperkukuh ekonominya.

Bagi Malaysia pula, hubungan lebih erat dengan Maldives membuka peluang untuk memperluas kehadiran di Lautan Hindi serta mengembangkan hubungan komersial dan institusi dengan salah satu ekonomi pelancongan dan maritim utama di rantau berkenaan.

Lawatan Anwar itu berlaku ketika kedua-dua negara berusaha memanfaatkan hubungan persahabatan yang sudah lama terjalin untuk membangunkan perkongsian yang lebih luas dan berorientasikan masa depan, dengan pertukaran MoU yang dirancang dijangka menjadi platform bagi kerjasama lanjut.

Lawatan berkenaan turut menjadi sebahagian daripada pembabitan diplomatik serantau Malaysia yang lebih luas, susulan penyertaan Anwar dalam Sidang Kemuncak BRICS ke-18 di New Delhi dan lawatan kerja beliau ke Keralam.

Lawatan ke Maldives itu dijangka memperkukuh komitmen Malaysia dalam mempererat hubungan dengan rakan di Lautan Hindi, selain membuka peluang baharu bagi kerjasama praktikal yang dapat memberikan manfaat ekonomi dan pembangunan nyata kepada kedua-dua negara.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Gunung Semeru Meletus Tiga Kali, Abu Cecah 1,000 meter

0
JAKARTA - Gunung Semeru di Jawa Timur dilaporkan meletus tiga kali pagi ini dengan memuntahkan abu setinggi 1,000 meter dari puncaknya, menurut pihak berkuasa...

CATEGORIES