Monday, September 14, 2026
HomeHIBURANPujian Zizan Razak Jadi Pembakar Semangat Namie Smy

Pujian Zizan Razak Jadi Pembakar Semangat Namie Smy

KUALA LUMPUR – Pengacara dan pelakon Namie menyifatkan pujian daripada penghibur berpengalaman, Zizan Rzak, sebagai satu penghargaan besar buat dirinya yang masih baharu dalam industru hiburan.

Namie terharu apabila mengetahui namanya disebut Zizan sebagai antara pengacara muda berbakat.

“Saya secara peribadi memandang Zizan di satu tempat yang tinggi, terutama dalam bidang komedi. Zizan membuktikan dia boleh menceburi bidang filem, pengacaraan dan nyanyian.

“Ibaratnya, semua bidang yang dia ceburi, semuanya dia ‘perform’. Jadi apabila figura seperti Zizan menyebut nama saya, saya sangat bersyukur,” katanya kepada BH Online.

Menurut Namie, pujian itu cukup bermakna berikutan dia pernah meninggalkan kerjaya sebagai guru dan kakitangan kerajaan demi mengejar impian dalam bidang yang diminatinya.

“Sebagai orang baharu, mahu atau tidak, saya perlu membuktikan diri supaya dipandang.

“Kalau tidak, sia-sia saya berkorban meninggalkan pekerjaan lama sebagai guru dan kakitangan kerajaan yang orang kata sudah lengkap dan selamat sampai ke mati, insya-Allah.

“Tetapi disebabkan ada perkara yang saya mahu kejar, kita korbankan. Jadi apabila nama saya disebut, itu satu penghargaan. Walaupun hanya pujian dan bukan dizahirkan dengan anugerah atau piala, saya sangat terharu,” katanya.

Namie mengakui pujian itu lebih bermakna kerana datang daripada individu yang sudah lama berada dalam industri dan mempunyai pencapaian dalam pelbagai bidang.

“Sampai saya DM (mesej langsung) Zizan sendiri dan cakap, seriuslah, bang?

“Apa-apa pun, terima kasih, bang, sebab masih pandang budak baharu.

“Kalau orang yang menyebut nama kita itu seusia dengan kita, mungkin kita boleh ‘chill’ lagi. Tetapi apabila Zizan yang menyebut dan memetik nama kita, bagi saya itu ‘wow!’.

“Saya juga terus terang cakap dengan dia, kalau ada rezeki, mari kita buat bersama. Tetapi semuanya bergantung pada rezeki, stesen televisyen (TV), program dan penaja. Kalau dia hendak, kita buatlah. Kalau tiada, kita tunggu,” katanya.

Sebelum ini, Zizan dilapor mengakui tertarik dengan cara penyampaian Namie yang disifatkannya mempunyai bakat besar dan berjaya menarik perhatian ramai.

“Saya suka tengok Namie. Dia bukan daripada mana-mana platform, dia ‘influencer’ sahaja. Tetapi disebabkan bakat dia, orang nak tengok dia,” kata Zizan.

Dalam perkembangan lain, Namie bakal tampil menerusi filem Keranda Tan Sri Terbang yang dijadualkan menemui penonton, akhir tahun ini.

Diarahkan Waan Hafiz, filem berkenaan mengisahkan seorang Tan Sri yang meninggal dunia. Namun, dalam perjalanan untuk dikebumikan, berlaku kejadian tidak diduga apabila kerandanya hilang, sekali gus mencetuskan kekecohan membabitkan keluarga, bomoh, musuh lama, netizen serta tiga lelaki yang ditugaskan membawa jenazah berkenaan.

Selain Achey, Shashic dan Namie, filem itu turut menampilkan Joey Daud, Norish Karman, Namron, Pablo Amirul, Watie Sadali, Amy Nur Tinie, Scha Ellinea, Sandra Lim, Taqim Zaki dan ramai lagi.

Sumber – Berita Harian

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Jefri Nichol Nafi Guna Kad Kredit Bekas Kekasih

0
PETALING JAYA – Aktor Indonesia Jefri Nichol tampil bersuara sekaligus menepis dakwaan dia menggunakan wang termasuk kad kredit bekas kekasih difahamkan Ameera Khan ketika...

CATEGORIES