KUALA LUMPUR – Enggan menyajikan persembahan dengan konsep sama setiap kali bertemu peminat , penyanyi tersohor Misha Omar bakal menampilkan sisi berbeza menerusi showcase eksklusif, AKU and Lekaki , sebagai pembuka tirai menuju sambutan 25 tahun perjalan seninya.
Showcase itu dijadual berlangsung pada 24 Oktober ini, jam 8.30 malam di JioSpace, Petaling Jaya, Selangor.
Berbeza dengan siri showcase Back to Basic dan DiA, Aku & Lelaki mengetengahkan konsep lebih segar yang meraikan keseimbangan dua sisi saling melengkapi iaitu maskulin dan feminin, kekuatan dan kelembutan serta kehilangan dan harapan.
Misha berkata, persembahan itu turut menjadi ruang untuknya meneroka karya yang pernah dipopularkan penyanyi lelaki dari Malaysia, Indonesia dan antarabangsa.
“Saya tidak mahu peminat mendengar perkara yang sama setiap kali kita bertemu.
“Aku & Lelaki adalah ruang dan peluang saya untuk meneroka lagu-lagu yang saya kagumi daripada penyanyi lelaki yang banyak memberi inspirasi kepada perjalanan muzik saya.
“Namun, pada masa sama, saya masih dan akan tetap membawa identiti saya sebagai seorang penyanyi wanita.
“Saya mahu peminat menikmati sesuatu yang baharu dan saya berharap showcase ini dapat membuat penonton pulang dengan kenangan yang istimewa,” katanya dalam kenyataan.
Selain membawakan lagu popular daripada katalog peribadinya, Misha akan memberikan interpretasi tersendiri terhadap karya ikonik penyanyi lelaki.
Pemilihan lagu dibuat bagi membentuk sebuah penceritaan yang menampilkan pelbagai emosi termasuk cinta, kehilangan, kerinduan, kegelisahan, kegembiraan dan harapan.
Dengan kekuatan vokal serta keupayaan menghidupkan emosi menerusi setiap karya, Aku & Lelaki dijangka menggabungkan elemen nostalgia, penghargaan terhadap muzik dan pengalaman artistik yang lebih intim.
Bagi memastikan persembahan mencapai standard produksi diinginkan, showcase berkenaan menghimpunkan barisan tenaga kreatif berpengalaman.
Pengarah Muzik, Ee Jeng bertanggungjawab menyusun keseluruhan muzik dan persembahan, manakala persembahan dipimpin Jennifer Thompson.
Aspek teknikal pula dikendalikan Simon bagi memastikan pengalaman audio dan visual yang terbaik buat penonton.
Aku & Lelaki dianjurkan Double M Productions dengan pengurusan konsert oleh Altus Prohouse.
Showcase berkenaan menjadi pembuka tirai menuju konsert ulang tahun ke-25 Misha Omar yang dijadual berlangsung tahun depan selain menjadi medan meraikan muzik, nostalgia dan hubungan istimewa antara penyanyi itu dengan peminat yang setia mengikuti perjalanan seninya lebih dua dekad.
Tiket mula dijual hari ini, jam 12 tengah hari menerusi platform Ticket2U.
Sumber – Berita Harian





