KUALA LUMPUR – Di sebalik kejayaan mempertahankan pingat emas acara 100 meter (m) kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026, jaguh renang para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli, terpaksa melalui pengorbanan besar demi memastikan kejayaan itu menjadi kenyataan.
Nur Syaiful berkata, usaha mempertahankan emas yang dimenanginya pada edisi Hangzhou 2022 menuntut komitmen tinggi, termasuk terpaksa berjauhan daripada keluarga dan tidak pulang ke kampung halamannya di Sarawak selama hampir lima bulan bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan.
“Pengorbanan yang saya lalui, termasuk tidak balik ke Sarawak hampir lima bulan untuk memberi tumpuan kepada latihan, akhirnya berbaloi dengan pencapaian yang saya raih,” katanya dalam temu bual bersama Majlis Sukan Negara (MSN).
Lebih manis, kejayaan itu turut menyaksikan Nur Syaiful memecahkan rekod temasya miliknya sendiri apabila mencatat masa satu minit 41.44 saat (s), mengatasi rekod terdahulu 1:41.55s yang dilakukannya di Hangzhou 2022.
“Bonus untuk saya juga kerana dapat memecahkan rekod sebanyak dua kali,” katanya.
Bagaimanapun, di sebalik kejayaan itu, Nur Syaiful mengakui perjalanan sebagai atlet para bukan mudah, lebih-lebih lagi apabila perlu menguruskan cabaran fizikal susulan kecederaan saraf tunjang yang dialaminya.
Katanya, sebagai individu yang menggunakan kerusi roda, dia perlu sentiasa berhati-hati ketika menjalani latihan kerana kesilapan pergerakan boleh menyebabkan kesakitan sehingga menjejaskan rutin persiapannya.
“Untuk saya yang berkerusi roda ini, banyak perkara yang perlu dihadapi. Kecederaan saraf tunjang ini banyak membabitkan bahagian tulang belakang. Kalau tersilap langkah, saya akan berasa sakit.
“Keadaan itu boleh menyebabkan saya perlu menjalani pemulihan selama dua hingga tiga hari sebelum dapat kembali berlatih secara perlahan-lahan. Perkara itu memang mencabar,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Syaiful turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan sepanjang perjalanan kariernya, termasuk keluarga, isteri dan anaknya.
Atlet berusia 31 tahun itu turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia, penaja serta pegawai MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) yang banyak membantu dalam memastikan persiapannya berjalan lancar sehingga berjaya mencapai kejayaan di pentas antarabangsa.
Sumber – Berita Harian





