CYBERJAYA – Data pergerakan pengguna aplikasi Waze berpotensi menjadi senjata kepada pihak yang berniat jahat untuk menjejaki lokasi dan meramal rutin harian seseorang individu menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI), sekali gus mengundang risiko keselamatan sekiranya maklumat itu jatuh ke tangan penjenayah.
Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, risiko itu mendorong kerajaan mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan data berkenaan dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab untuk mengancam keselamatan negara atau individu berkepentingan.
Menurut beliau, pihaknya mendapati data penggunaan Waze tertakluk kepada undang-undang Israel, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap potensi penyalahgunaan maklumat berkenaan.
“Memang kita sedar, Waze dibangunkan oleh Israel. Dalam konteks sekarang, teknologi digital dan juga AI (kecerdasan buatan) diguna pakai oleh penjenayah ataupun mereka yang ingin memberi ancaman keselamatan kepada negara sebagai medium untuk tujuan tersebut,” katanya menerusi taklimat kepada agensi media mengenai isu-isu semasa keselamatan negara di sini hari ini.
Semalam, kerajaan memutuskan untuk melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze yang berpangkalan di Israel dalam kalangan anggota perkhidmatan awam berkuat kuasa serta-merta.
Arahan itu dibuat menerusi satu pemakluman rasmi yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Megat Zuhairy berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan, data penggunaan Waze adalah terikat kepada undang-undang negara berkenaan, justeru langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelakkan maklumat itu digunakan untuk tujuan yang boleh mengancam keselamatan.
“Dalam konteks itu, kita berpandangan bahawa ancaman tersebut jelas. Dan kita mengambil langkah proaktif supaya ancaman tersebut tidak diguna pakai bagi tujuan-tujuan jahat untuk Malaysia ataupun kepada sesiapa yang mereka mempunyai kepentingan untuk mencapai hasrat jahat tersebut,” katanya.
Ditanya sama ada terdapat data pengguna Malaysia sudah diperoleh oleh pihak berkenaan, Megat Zuhairy berkata, data itu sememangnya telah tersedia berikutan penggunaan aplikasi berkenaan untuk tujuan navigasi sejak sekian lama.
“Daripada dulu mereka mempunyai data kita sebab kita menggunakan Waze bagi tujuan untuk navigasi. Pergerakan-pergerakan kita berada di Waze,” katanya.
Jelasnya lagi, data lokasi dan corak pergerakan yang dikumpulkan menerusi aplikasi berkenaan turut berpotensi digunakan dengan bantuan AI untuk menjejaki pergerakan individu secara lebih khusus.
Katanya, sekiranya maklumat itu terdedah atau diperoleh penjenayah, ancamannya boleh menjadi serius memandangkan teknologi AI membolehkan data berkenaan dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan.
Sementara itu, ditanya sama ada Malaysia merupakan negara pertama yang mengambil tindakan sedemikian, beliau menjelaskan, terdapat negara lain yang turut mengehadkan penggunaan aplikasi sedemikian, namun pendekatan Malaysia dalam konteks ini tertumpu kepada penjawat awam dan bukannya larangan menyeluruh terhadap penggunaan Waze.
“Setahu saya, Iran juga ada menyekat, di China ada limitasi tertentu, tetapi dalam konteks ini Malaysia menyekat penggunaan penjawat awam sahaja, tidak ‘banned’ secara keseluruhan,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE





