Wednesday, October 21, 2026
HomeBERITALelaki Diarah Bayar Nafkah RM1,500 Sebulan Kepada Bekas Isteri Lumpuh

Lelaki Diarah Bayar Nafkah RM1,500 Sebulan Kepada Bekas Isteri Lumpuh

KUALA LUMPUR – “Sebab dia nak hidup.” Itu jawapan seorang ibu ketika ditanya mengapa anak perempuannya yang lumpuh dan terlantar memerlukan nafkah bulanan, sekali gus meruntun hati Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Dr Mohammad Johan Lee.

Wanita itu bukan menuntut kemewahan, sebaliknya memerlukan wang bagi meneruskan kehidupan selepas menghidap penyakit saraf progresif yang menyebabkan dia tidak mampu berjalan, bercakap atau menguruskan diri sendiri.

Lebih memilukan, ketika dia memerlukan sokongan suami untuk menghadapi penderitaan itu, lelaki terbabit didapati melakukan keganasan rumah tangga, mengabaikan tanggungjawab dan meninggalkannya di sebuah rumah kebajikan sebelum meneruskan kehidupan bersama wanita lain.

Dalam alasan penghakiman bertarikh 19 Oktober lalu, Johan menyifatkan tuntutan wanita dikenali sebagai OMS itu sebagai unik dan menyayat hati kerana dia bukan pasangan yang berkemampuan untuk menguruskan dirinya, sebaliknya pesakit terlantar yang berjuang untuk kelangsungan hidup.

“Dia memerlukan bekalan perubatan berterusan, lampin dewasa khusus, fisioterapi dan pengangkutan dengan bantuan,” katanya.

Mahkamah memerintahkan bekas suaminya dikenali sebagai LTK, membayar nafkah RM1,500 sebulan sepanjang hayat OMS bagi menampung penjagaan paliatifnya.

Bayaran itu perlu dimasukkan terus ke dalam akaun bank bersama OMS dan ibunya, LSK, pada atau sebelum tarikh ditetapkan setiap bulan.

Mahkamah turut memerintahkan LTK membayar RM340,000 kepada bekas isterinya, mewakili 50 peratus bahagiannya daripada rumah kelamin mereka yang dinilai dan dijual pada harga RM680,000.

Johan menolak alasan LTK bahawa rumah itu didaftarkan atas namanya seorang dan dibeli menggunakan wang keluarganya, sekali gus menafikan hak OMS terhadap hartanah berkenaan.

Sebaliknya, mahkamah mengambil kira sumbangan kewangan OMS, termasuk penggunaan simpanan sebelum berkahwin serta pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi i-Lestari dan i-Citra untuk membayar ansuran pinjaman rumah ketika pandemik COVID-19.

Mahkamah juga memerintahkan wanita yang dikenalpasti sebagai CAN iaitu majikan LTK, membayar ganti rugi RM50,000 kepada OMS selepas mendapati hubungan sulit mereka terbukti.

Selain itu, responden diperintahkan membayar kos prosiding RM50,000 kepada OMS.

OMS menghidap Spinocerebellar Ataxia (SCA), penyakit neurodegeneratif progresif yang menyebabkan dia mengalami kelumpuhan empat anggota badan, terlantar dan tidak mampu bercakap.

Dia berkahwin dengan LTK pada 20 Jun 2014 sebelum melahirkan anak perempuan pada tahun berikutnya.

Mahkamah mendapati LTK mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anaknya yang kini berusia 11 tahun memberitahu mahkamah bahawa jiran kadangkala memberikan makanan kepada mereka kerana bapanya gagal menyediakan makanan.

Kanak-kanak itu turut menyaksikan bapanya memukul ibunya.

Pada 10 November 2021, LTK meletakkan OMS di sebuah rumah kebajikan manakala anak mereka dihantar ke pusat penjagaan kanak-kanak.

Mahkamah turut menolak cabaran LTK terhadap petisyen perceraian yang dikemukakan bagi pihak isteri menerusi ibunya, atas alasan wanita itu tidak berkeupayaan memulakan prosiding tanpa kebenaran mahkamah terlebih dahulu.

Johan berkata, menerima hujah itu akan membolehkan seorang suami menganiaya dan meninggalkan isterinya yang tidak berdaya, kemudian terlepas daripada tanggungjawab hanya kerana ketidakupayaan isterinya mendapatkan keadilan.

“Undang-undang adalah instrumen keadilan, bukannya tempat berlindung bagi kekejaman,” katanya.

Dalam keputusan itu, mahkamah membubarkan perkahwinan pasangan terbabit dan menetapkan hak penjagaan, pemeliharaan serta kawalan anak perempuan mereka diberikan kepada pusat penjagaan kanak-kanak dan OMS.

LTK juga diperintahkan membayar RM400 sebulan kepada pusat jagaan itu untuk perbelanjaan anaknya, memasukkan RM300 sebulan ke dalam akaun simpanan kanak-kanak berkenaan serta menanggung semua perbelanjaan pendidikan dan perubatannya sehingga menamatkan pengajian tinggi.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Macam Mana Sotong Kurita Bertukar Warna? Ini Rahsia Di Sebalik Kehebatannya!

0
Sotong kurita terkenal dengan kebolehannya menyamar sehingga sukar dikesan oleh haiwan lain. Dalam sekelip mata, kulitnya boleh berubah daripada warna cerah kepada gelap, malah...

CATEGORIES