Friday, October 16, 2026
HomeBERITAOrang Utan Lapar Ditemui Dalam Kebakaran Hutan Di Kalimantan

Orang Utan Lapar Ditemui Dalam Kebakaran Hutan Di Kalimantan

JAKARTA – Seekor orang utan betina yang dipercayai kelaparan dipindahkan dari kawasan hutan yang musnah akibat kebakaran di Kalimantan, Indonesia semalam.

Ia antara ratusan haiwan yang terjejas akibat kebakaran di negara itu sehingga mencetuskan jerebu teruk sejak beberapa minggu lalu.

Ketua agensi sumber alam tempatan, Muriansyah, berkata orang utan itu ditemukan di kawasan hutan terbakar di wilayah Kalimantan Tengah.

“Kami mengesyaki orang utan itu sedang mencari makanan sebelum ditemukan penduduk setempat, yang kemudian melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita semalam.

Orang utan yang dianggarkan berusia kira-kira 20 tahun itu ketika ini ditempatkan di pusat jagaan milik agensi berkenaan.

Menurut wartawan AFP yang berada di lapangan, orang utan itu diberikan ubat bius bagi membolehkan ia ditangkap dengan selamat.

Pasukan penyelamat perlu menggunakan jaring untuk menurunkan haiwan yang berada dalam keadaan mengantuk dari atas pokok.

Petugas perubatan daripada Orangutan Foundation International, Ichlasul Khaerul, berkata pemeriksaan awal mendapati orang utan berkenaan tidak mengalami kecederaan dan menunjukkan tanda masalah pernafasan.

Dalam perkembangan sama, jurucakap Kementerian Perhutanan memaklumkan Indonesia sudah menyelamatkan 232 haiwan liar setakat 8 Oktober lalu, termasuk 76 monyet probosis dan 71 orang utan di Borneo.

Orang utan dikategorikan sebagai spesies yang amat terancam.

Menurut Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), kira-kira 104,000 orang utan masih hidup di Borneo dan Sumatera, merosot daripada lebih 230,000 ekor sejak seabad lalu.

Pada September lalu, Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) memberi amaran kebakaran berlaku di habitat yang menampung 52 peratus populasi orang utan di Borneo.

Sumber – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Hampir Terlepas Peluang Ke Universiti, Asyraf Wajdi Bantu Pelajar Cemerlang

0
KUALA LUMPUR - Tular di media sosial perkongsian video berdurasi tiga minit oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang menyentuh hati orang...

CATEGORIES