Friday, October 16, 2026
HomeHIBURANLiyana Jasmay Tidak Berkecil Hati Lizzy Kritik Lakonan Sendiri

Liyana Jasmay Tidak Berkecil Hati Lizzy Kritik Lakonan Sendiri

KUALA LUMPUR – Pengarah dan pelakon Liyana Jasmay tidak berkecil hati dengan luahan Elizabeth Tan yang mengakui kurang berpuas hati dengan mutu lakonannya dalam filem seram Pemuja Syaitan, sebaliknya memahami keinginan pelakon itu untuk memberikan persembahan terbaik.

Liyana, 38, berkata, perasaan tidak puas hati terhadap lakonan sendiri adalah perkara biasa dalam kalangan pelakon yang sentiasa mahu memperbaiki mutu persembahan, malah beliau sendiri pernah melalui pengalaman sama.

Katanya, beliau tetap berpuas hati dengan lakonan Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy, dan percaya pelakon itu berjaya membawakan watak yang diberikan mengikut acuan ditetapkan.

“Saya ada cakap dengan dia yang lakonannya sudah cukup bagus. Salah satu sebab saya memilih dia adalah kerana saya tahu karakter itu ada dalam dirinya.

“Saya rasa perasaan itu perkara biasa bagi semua pelakon. Kita akan merasakan sebenarnya kita boleh buat lebih baik. Dulu, saya pun pernah ada perasaan begitu.

“Jadi, saya tidak marah atau kisah pun. Saya rasa itu perasaan yang baik bagi seorang pelakon yang merasakan dia sepatutnya boleh memberikan lakonan lebih baik,” katanya.

Liyana yang juga pengarah filem itu berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan Lizzy sepanjang penggambaran, malah pelakon berkenaan kerap mendapatkan pandangannya bagi memastikan lakonan yang diberikan menepati kehendak pengarah.

Katanya, beliau sudah menjelaskan nada dan pendekatan lakonan yang diinginkan sejak awal, sekali gus memastikan Lizzy memahami hala tuju watak yang dibawakan.

“Sejujurnya, saya sangat berpuas hati dengan lakonan dia. Saya suka. Ketika penggambaran pun, dia selalu bertanya sama ada lakonannya okey atau tidak.

“Saya beritahu dia lakonannya bagus kerana kalau saya tidak suka, saya akan cakap. Dari awal lagi, saya sudah beritahu nada lakonan yang saya mahukan.

“Jadi, apabila saya kata lakonannya sudah okey, bermakna dia sudah membawakan watak itu mengikut paksi yang betul. Saya tiada masalah dengan lakonannya,” katanya.

Mengulas hubungan mereka, Liyana berkata, keakraban sebagai rakan serta jurang usia yang tidak jauh membuatkan Lizzy lebih selesa berkongsi pandangan dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap lakonan sendiri.

Katanya, situasi itu berbeza dengan pengalamannya ketika awal bergelar pelakon apabila beliau berasa segan untuk menyuarakan kekecewaan terhadap lakonan sendiri kepada pengarah.

“Sudah pasti dia boleh meluahkan perasaannya kepada saya kerana kami sesama perempuan. Kalau dahulu, saya tidak pernah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap lakonan sendiri kepada pengarah kerana segan dan bimbang dimarahi.

“Tetapi hubungan saya dengan Lizzy berbeza. Kami berkawan dan dia sangat selesa untuk berkongsi apa yang dirasakannya,” katanya.

Terdahulu, Lizzy meluahkan rasa kecewa dan kurang berpuas hati dengan lakonannya dalam Pemuja Syaitan kerana merasakan persembahannya belum mencapai tahap yang diharapkan.

Filem berkenaan mula menemui penonton di pawagam hari ini, dibintangi Zul Ariffin, Elizabeth Tan dan Nadhir Nasar, selain Alia Azizul, Ellyza Azizi, Aida Amron, Dhabita Auji serta Hakim Khan.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Hampir Terlepas Peluang Ke Universiti, Asyraf Wajdi Bantu Pelajar Cemerlang

0
KUALA LUMPUR - Tular di media sosial perkongsian video berdurasi tiga minit oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang menyentuh hati orang...

CATEGORIES