KUALA LUMPUR – Penyanyi Ara Johari, 29, mendakwa jangkitan COVID-19 dan influenza menjejaskan kemampuan vokalnya untuk menyanyikan lagu bernada tinggi.
Ara atau nama sebenar Nurfarrah Izzatie Johari berkata, faktor usia semakin meningkat dan masalah kesihatan antara sebab peti suaranya terjejas hingga boleh dipulihkan menerusi pembedahan atas mendapat nasihat doktor.
“Sekarang memang saya banyak menyanyikan lagu galau bernada biasa sesuai dengan kemampuan vokal saya. Apatah lagi, usia pun semakin meningkat dan kemampuan vokal kita semestinya melalui perubahan juga.
“Mungkin sudah tidak boleh menyanyi seperti ketika remaja dulu sebab kemampuan vokal saya benar-benar terjejas hingga terpaksa turunkan satu ‘key’ (nada) ketika nyanyian.
“Itu mungkin antara kesan juga selepas saya pernah dijangkiti Covid-19 sebanyak lima kali dan influenza juga sebanyak dua kali,” katanya.
Ara berkata, jangkitan influenza yang dialaminya memang dirasakan membawa kesan ketara terhadap suaranya yang kini menjadi lebih kasar.
“Macam dulu, saya okay sahaja menyanyikan lagu Bunga, Warkah Untukku yang bernada sangat tinggi. Tetapi, sekarang walaupun saya masih boleh menyanyikan dengan baik, namun sudah tidak boleh tarik tinggi ikut ‘key’ asal.
“Lagu masa awal-awal saya muncul dalam induatri selepas menyertai Akademi Fantasia (AF) dulu memang ‘key’ cukup tinggi. Cuma, ketika ini memang kebanyakan lagu saya mengikut had tinggi sesuai sahaja,” katanya.
Katanya, dia juga amat menjaga kesihatan vokalnya agar tidak mengalami sakit tekak kerana keadaan itu akan menyebabkan pita suaranya terjejas dan mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya.
“Saya kena jaga kesihatan diri dan suara kerana saya perlu menyanyi dalam ‘show’ diterima. Ini (nyanyian) sumber pendapatan saya untuk kegunaan harian dan komitmen bulanan, jadi saya tak nak ada apa-apa risiko.
“Mengikut doktor, pita suara saya boleh pulih semula sekiranya melakukan pembedahan. Tetapi, selepas itu saya tidak boleh menyanyi dalam tempoh yang panjang kira-kira satu tahun. Susah juga kalau tidak bekerja.
“Jadi, biarlah saya menyanyi ikut kemampuan vokal sekarang dan yakin masalah peti suara ini akan membaik juga sekiranya melakukan penjagaan yang betul. Saya suka dan minat menyanyi, serta hendak terus menyanyi,” katanya.
Untuk rekod, lagu Kisah Yang Hampir Sempurna ciptaan bersama Aepul Roza dan Daus Drama Band berkisar hubungan percintaan pasangan kekasih terputus di tengah jalan.
Sumber – Berita Harian





