Friday, October 16, 2026
HomeHIBURANHasilkan Single, Achey Enggan Terus Dibayangi Imej Pelawak

Hasilkan Single, Achey Enggan Terus Dibayangi Imej Pelawak

KUALA LUMPUR: Tidak mahu terus dibayangi identiti sebagai pelawak, Achey kembali mempertaruhkan bakat dalam bidang nyanyian menerusi single terbaharu, Gadis Ayu, yang dicipta sepenuhnya olehnya.

Diterbitkan di bawah label 1711 Music, lagu berentak rancak itu mengetengahkan kisah percintaan unik yang disampaikan menerusi melodi santai dan lirik bersahaja, sekali gus memperlihatkan sisi kreatif Achey sebagai penyanyi, komposer dan penulis lirik.

Menurut Achey, Gadis Ayu bukan dihasilkan berdasarkan pengalaman peribadinya, sebaliknya tercetus daripada imaginasi untuk menghasilkan lagu yang bukan sahaja rancak, malah mempunyai jalan cerita tersendiri.

“Lagu ini sebenarnya tidak ada kena-mengena secara langsung dengan kehidupan saya. Semuanya datang daripada imaginasi sendiri kerana saya mahu menghasilkan lagu rancak yang mempunyai jalan cerita.

“Ia berkisarkan bibit percintaan antara seorang lelaki dan wanita yang bertemu dalam keadaan agak luar biasa. Saya tidak mengharapkan orang menganggap lagu ini sebagai ciptaan yang terlalu hebat, sebaliknya cukup sekadar mereka terhibur dan menikmati muziknya,” katanya.

Mengulas pembabitannya dalam bidang muzik, Achey menegaskan status sebagai pelawak tidak seharusnya menjadi batasan untuk seseorang meneroka cabang seni lain.

Katanya, minat terhadap bidang nyanyian dan penciptaan lagu sudah lama berputik, malah dia lebih selesa menghasilkan karya sendiri bagi memastikan setiap lagu yang diketengahkan mencerminkan kreativiti serta identiti seninya.

“Pada saya, seorang pelawak tidak semestinya hanya tahu melawak. Kita mempunyai pelbagai bakat dan minat yang boleh diterokai.

“Saya memang suka mencipta lagu dan menyanyi. Orang boleh bercakap apa sahaja, tetapi kalau kita terlalu memikirkan pandangan orang, sampai bila-bila kita tidak akan bergerak ke hadapan,” ujarnya.

Achey berkata, pengalaman menghasilkan lagu raya berentak rancak sebelum ini turut mendorongnya meneroka pendekatan muzik sama menerusi karya yang boleh dinikmati sepanjang tahun.

Katanya, dia mahu memperluas variasi muzik yang dihasilkan agar tidak hanya dikaitkan dengan lagu bermusim, sebaliknya mampu menawarkan hiburan kepada pendengar pada bila-bila masa.

“Saya memang sedang meneroka pelbagai genre muzik. Sebelum ini, pendengar mungkin sudah biasa dengan lagu raya saya yang rancak. Jadi, kali ini saya mahu mencuba lagu rancak yang boleh dinikmati pada bila-bila masa,” katanya.

Dalam pada itu, Achey menghargai sokongan dan kepercayaan 1711 Music yang menjadi rakan kerjasamanya sejak awal pembabitan dalam bidang muzik.

Menurutnya, persefahaman yang terjalin membolehkannya berkarya dengan lebih selesa, selain merancang strategi promosi bersesuaian dengan karakter lagu dan sasaran pendengar.

“Kerjasama saya dengan 1711 Music sudah bermula sejak lagu pertama lagi. Mereka memberikan ruang untuk saya berkarya dan sentiasa berusaha membantu dari segi penerbitan serta promosi.

“Alhamdulillah, kami mempunyai persefahaman yang baik dan saya sangat menghargai kepercayaan serta sokongan mereka,” katanya.

Menyentuh persaingan dalam industri muzik yang semakin mencabar, Achey mengakui tidak terlalu mengejar populariti segera, sebaliknya lebih mengutamakan sokongan peminat yang setia mengikuti perjalanan seninya.

Jelasnya, dia menyedari bukan semua pendengar mempunyai cita rasa muzik yang sama, justeru penerimaan peminat sedia ada dan usaha menghasilkan karya berkualiti menjadi keutamaan.

“Bukan semua orang akan menyukai kita dan saya tidak boleh memaksa semua orang menerima muzik saya. Apa yang penting, kita menjaga peminat yang sedia ada dan terus menghasilkan karya terbaik.

“Saya juga tidak kisah kalau lagu tidak terus mendapat sambutan luar biasa pada awal pelancaran. Promosi perlu dilakukan secara berterusan kerana mungkin selepas beberapa bulan, lagu itu akan menemui pendengarnya sendiri,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Achey tidak menolak kemungkinan menghasilkan lebih banyak karya ciptaan sendiri, selain menjalinkan kerjasama dengan penyanyi lain.

Dia turut berhasrat meneruskan usaha mengetengahkan bakat generasi muda sebagai sebahagian daripada perkembangan kerjaya seninya.

Menerusi Gadis Ayu, Achey berharap dapat menawarkan karya santai yang menghiburkan, sekali gus membuktikan dirinya bukan sekadar pelawak, tetapi penghibur serba boleh yang mampu bersaing dalam industri muzik tempatan.

Single Gadis Ayu mula distrim di semua platform muzik digital pada 16 Oktober 2026, manakala muzik video rasmi lagu itu boleh ditonton menerusi saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada hari sama, jam 3 petang.

Sumber – Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Kalau Tawaran Tak Jadi Maklum, Tiada Siapa Akan Marah’ – Catriona...

0
PETALING JAYA – Pelakon Catriona Ross menegur sikap segelintir pihak produksi yang didakwa gagal menjaga adab dan profesionalisme ketika berurusan dengan pelakon khususnya berkaitan...

CATEGORIES