KUALA LUMPUR – Isteri kepada pelawak dan usahawan, Shuib, iaitu Watie Hanifiah menafikan dakwaan bahawa mereka sudah saling mengenali sebelum pemergian isteri pertama suaminya, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.
Watie, 37, berkata, keputusan untuk bersuara dibuat selepas dua hari berfikir dan memohon petunjuk daripada Allah SWT, sebelum merasakan sudah tiba masanya untuk mempertahankan diri daripada dakwaan yang mencetuskan pelbagai spekulasi.
Menerusi hantaran di Instagram (IG), Watie menjelaskan, tindakannya bukan semata-mata untuk membela diri, sebaliknya bagi melindungi anak-anak serta menjaga nama baik arwah Siti Sarah.
“Saya dan suami tidak pernah mengenali antara satu sama lain ketika arwah masih hidup.
“Suami saya juga tidak pernah mengenali Eddy Kana, walaupun sebelum ini mereka pernah dikaitkan dengan isu yang sama,” katanya.
Dalam perkongsian itu, Watie turut menafikan dakwaan ahli perniagaan, Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali sebagai Datuk Addy Kana, berhubung hubungannya dengan Shuib.
Menurutnya, Shuib tidak pernah mempunyai sebarang hubungan dengan Addy Kana, malah tidak mengenalinya secara peribadi.
Watie berkata, selepas mengenali Shuib, dia pernah bertanyakan perkara itu kepada Addy Kana, yang didakwa mengesahkan tidak mengenali suaminya secara peribadi dan tidak mempunyai sebarang hubungan perniagaan dengannya.
Katanya, penjelasan itu bukan bertujuan menggambarkan dirinya sebagai individu yang lebih baik atau suci, sebaliknya berharap segala spekulasi mengenai hubungan mereka dapat dihentikan.
“Dengan memberikan bukti ini, bukan bermakna saya mahu menunjukkan diri sebagai orang yang lebih baik atau suci, tetapi saya berharap semoga selepas ini segalanya akan terhenti di sini.
“Bukan bermakna Allah menjauhkan saya daripada teman lama kerana mereka tidak baik untuk saya, tetapi mungkin pilihan untuk meninggalkan dunia hiburan bersama teman-teman demi sebuah rumah tangga menjadi asbab untuk saham saya di akhirat,” katanya.
Terdahulu, tular video lama di media sosial yang memaparkan Watie bermain golf, dengan audio yang dikaitkan dengan Shuib.
Perkongsian itu mencetuskan spekulasi bahawa Watie dan Shuib sudah saling mengenali ketika Allahyarham Siti Sarah masih hidup.
Sumber – Berita Harian





