Thursday, October 15, 2026
HomeHIBURAN'Jangan Hukum Seseorang Kerana Satu Kesilapan' - Fizie

‘Jangan Hukum Seseorang Kerana Satu Kesilapan’ – Fizie

KUALA LUMPUR: Selebriti dan penyampai radio Gegar FM, Fizie atau nama sebenarnya Hafizie Roslan, meluahkan rasa terkilan melihat apa yang menimpa sahabatnya, pelawak Shuib, susulan isu perbalahan yang dipercayai membabitkan pelawak itu dengan Jep Sepahtu.

Menerusi luahan yang dikongsikan, Fizie menegaskan pendiriannya bukan untuk menyebelahi mana-mana pihak, sebaliknya berpandukan nilai persahabatan dan rasa kemanusiaan sesama insan.

Menurutnya, dia mengenali hati budi Shuib, termasuk sifat pemurah serta kebaikan yang dilakukan pelawak itu kepada orang lain di sebalik tabir, yang tidak diketahui ramai.

“Tergerak hati aku nak meluah apa yang aku rasa sebagai seorang manusia, bukan nak menyebelahi sesiapa, tapi atas dasar persahabatan dan rasa kemanusiaan kita sesama insan.

“Bila aku tengok apa yang sedang menimpa sahabat aku ini aku jadi termenung panjang. Jujur aku cakap, aku kenal siapa Shuib. Aku kenal hati budi dia, betapa pemurahnya dia, dan berapa banyak tangan yang dia hulurkan untuk tolong orang lain di belakang kamera termasuk aku yang ramai orang tak tahu,” luahnya di Instagram..

Fizie turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu cepat menghukum seseorang hanya kerana satu kesilapan sehingga melupakan segala kebaikan yang pernah dilakukan individu berkenaan.

Katanya, setiap manusia tidak terlepas daripada ujian dan apa yang berlaku antara Shuib dengan rakannya itu seharusnya diselesaikan secara baik oleh mereka sendiri tanpa campur tangan pihak luar yang boleh mengeruhkan keadaan.

“Tapi manusia tidak pernah sunyi daripada diuji. Sebagaimana pesan orang bijak pandai, jangan pernah hukum seseorang kerana satu kesilapan, sampai kita lupa ribuan kebaikan yang pernah dia taburkan.

“Apa yang berlaku sekarang ni adalah urusan antara dia dengan kawan dia. Sebagai seorang yang ada kawan, aku sayang sangat dekat semua sahabat-sahabat aku.

“Dalam persahabatan, biasalah ada pasang surutnya, ada kala kita diuji dengan salah faham. Biarlah mereka berdua yang selesaikan cara baik. Kita di luar ni, usah ditokok tambah cerita,” katanya.

Dalam pada itu, Fizie turut menyuarakan kebimbangan apabila ahli keluarga individu yang terlibat turut menjadi perhatian susulan pertikaian berkenaan.

Dia berharap orang ramai tidak mengheret isteri dan anak-anak mereka yang disifatkan tidak mempunyai kaitan dengan perselisihan itu.

“Cuma, satu je yang meruntun hati aku, tolonglah, jangan heret ahli keluarga mereka yang tidak bersalah. Isteri, dan anak-anak kecil mereka tiada kaitan langsung dengan sengketa ini. Kasihanilah mereka,” katanya.

Mengakhiri luahannya, Fizie menitipkan pesanan supaya orang ramai memilih untuk menyebarkan kebaikan dan kasih sayang berbanding menambah luka kepada pihak yang sedang berdepan ujian.

Katanya, jika tidak mampu membantu meredakan kesedihan seseorang, sekurang-kurangnya orang ramai tidak seharusnya menjadi punca yang menambahkan penderitaan.

“Sebagai sahabat, aku cuma nak titipkan satu peringatan untuk diri aku dan semua.Kalau kita tak mampu menjadi ubat yang menyembuhkan luka orang, sekurang-kurangnya janganlah kita jadi racun yang mematikan.

“Sebarkanlah kasih sayang, doakan yang baik-baik. Kerana di hujung cerita nanti, apa yang kita tinggalkan di dunia ini adalah doa dan kebaikan, bukan benci,” katanya.

Sumber – Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Orang Tak Nampak Kemurungan Saya – Azza Elite

0
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Azza Elite mengakui adakalanya dirinya mengalami tekanan hidup dan kemurungan gara-gara kehidupan yang mencabar. Katanya, namun perkara itu dilepaskan apabila...

CATEGORIES