PETALING JAYA – Dilabel malas dan tidak mempunyai inisiatif mempromosikan kerjaya kerana kurang aktif dalam media sosial, penyanyi Nadeera Zaini mengakui sengaja mengehadkan penglibatannya di platform digital demi menjaga kesihatan mental.
Ujar Nadeera atau nama sebenarnya Farah Nadeera Zaini, 33, pengalaman kurang menyenangkan sebelum ini membuatkannya lebih berhati-hati ketika berkongsi pandangan secara terbuka, terutama apabila setiap kenyataan berisiko disalah tafsir sehingga mencetuskan polemik.
“Saya akui memang kurang aktif di platform media sosial, terutamanya Threads. Bukan malas atau tiada inisiatif tapi saya sendiri mengehadkan masa di media sosial demi menjaga kesihatan mental.
“Saya pernah melalui pengalaman kurang menyenangkan dan perkara itulah membuatkan saya lebih berhati-hati ketika bersuara secara terbuka.
“Saya bimbang setiap kenyataan dikeluarkan akan disalah tafsir orang lain sehingga mengundang perkara tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Tambah pelantun lagu Cuba Jadi Aku itu, dia berharap industri muzik tempatan terus memberinya ruang dan peluang untuk membuktikan kemampuan serta memperkenalkan karya kepada khalayak.
Jelasnya, perjalanan seninya masih panjang dan dia memerlukan sokongan berterusan daripada penggiat industri serta peminat untuk terus berkembang sebagai penyanyi.
“Saya berharap industri muzik tanah air dapat memberikan peluang dan ruang kepada saya untuk membuktikan bakat serta muzik dibawakan kerana perjalanan kerjaya saya masih baharu dalam industri ini.
“Saya juga berharap peminat terus memberikan sokongan terhadap karya-karya saya kerana sokongan mereka menjadi penguat semangat untuk saya terus bertahan dan melangkah lebih jauh dalam bidang ini,” ujarnya.
Terdahulu, terdapat netizen mendakwa nama Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) itu semakin kurang mendapat perhatian kerana tidak memanfaatkan media sosial secara aktif untuk mempromosikan kerjaya, berbanding penyanyi lain.
Malah, sikapnya itu turut mengundang tanggapan bahawa dia kurang berusaha mengetengahkan bakat sendiri sehingga kerjayanya dikatakan semakin suram dan terus tenggelam.
Sumber – KOSMO! ONLINE.





