Thursday, October 15, 2026
HomeHIBURANAMT 2026 Gabung Cuckootopia, Himpunkan Lee Junho Dan Bintang Tempatan

AMT 2026 Gabung Cuckootopia, Himpunkan Lee Junho Dan Bintang Tempatan

KUALA LUMPUR – Kemeriahan Anugerah Melodi Terhangat 2026 (AMT 2026) tidak berakhir sebaik tirai malam kemuncaknya dilabuhkan, sebaliknya diteruskan menerusi Cuckootopia, konsert penghargaan ulang tahun ke-12 Cuckoo Malaysia yang bakal menghimpunkan bintang popular Korea Selatan, Lee Junho, serta barisan penghibur tempatan.

Konsert yang dijadual berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, pada 24 Oktober ini dari jam 6 petang hingga tengah malam itu menjadi acara susulan bagi melanjutkan kemeriahan AMT 2026, sekali gus memberi ruang kepada peminat menikmati pengalaman hiburan berbeza selepas malam anugerah.

Selain Lee Junho yang juga Duta Global Cuckoo, Cuckootopia turut menampilkan kumpulan Hujan dan penyanyi Firdhaus. Acara itu akan dikendalikan oleh Kamal Adli, Owen Yap dan Fiza Frizzy.

Pemangku Ketua Pegawai Operasi, Strategi Kandungan dan Audiens, Rangkaian TV dan Kandungan Media Prima, Farah Shamsudin, berkata AMT 2026 tampil dengan pendekatan berbeza tahun ini apabila menggabungkan dua acara utama, iaitu malam anugerah dan Cuckootopia.

Beliau berkata, penganjuran bersama TV3, 8TV dan Cuckoo Malaysia menerusi kerjasama pertama itu menyaksikan Cuckoo tampil sebagai Penaja Terhangat AMT 2026.

“Tahun ini menandakan kolaborasi pertama TV3 dan 8TV bersama Cuckoo Malaysia, dengan Cuckoo sebagai Penaja Terhangat AMT 2026. Bagi Media Prima, AMT 2026 dan Cuckootopia adalah dua acara yang saling melengkapi, apabila kemeriahan AMT 2026 diteruskan dengan Cuckootopia.

“AMT 2026 memberi tumpuan kepada pengiktirafan buat barisan selebriti serta sokongan peminat menerusi pencalonan, undian dan malam kemuncak, manakala Cuckootopia membawa sambutan tersebut ke pentas konsert sebagai acara penghargaan buat peminat yang juga sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-12 Cuckoo Malaysia.

“Gabungan ini menjadikan sambutan AMT 2026 lebih menyeluruh, daripada pentas anugerah kepada pentas konsert, dengan setiap acara menawarkan pengalaman yang berbeza kepada peminat,” katanya pada sidang media dan pelancaran AMT 2026 X Cuckootopia di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Farah berkata, kesinambungan antara kedua-dua acara itu turut diperkukuh apabila empat kategori AMT 2026 akan diumumkan pemenangnya di pentas Cuckootopia.

Kategori berkenaan ialah Keluarga Selebriti Terhangat, Selebriti Fit Terhangat, Selebriti Chemistry Terhangat dan Selebriti Mandarin Terhangat.

“Ini menjadikan Cuckootopia sebahagian daripada kesinambungan AMT 2026, bukan sekadar acara yang menyusuli malam anugerah, sekali gus memberi peminat satu lagi momen untuk dinantikan,” katanya.

Sementara itu, AMT 2026 kini menuju ke malam kemuncak selepas tempoh undian berakhir pada 11 Oktober lalu, dengan keputusan bakal diumumkan pada malam anugerah.

Malam kemuncak yang disiarkan secara langsung pada 18 Oktober ini, jam 9 malam, dari Selangor International Trade Centre (SITC) akan dikendalikan oleh gandingan Ain Edruce dan Kamal Adli.

Sebelum itu, acara Karpet Merah bermula jam 8 malam dengan Ceddy Ang, Fiza Frizzy dan Ferra Mazlan sebagai pengacara.

Penonton juga berpeluang mengikuti perkembangan di sebalik pentas menerusi TikTok Melodi Terhangat bermula jam 9 malam.

Menambah warna pada acara Karpet Merah, AMT 2026 turut memperkenalkan dua kategori khas, iaitu Fresh Smile Award Darlie bagi mengiktiraf senyuman paling menawan dalam kalangan artis, serta Cheesy Pose Terhangat Gardenia QuickBites yang meraikan gaya paling ‘cheesy’ ketika bergambar.

Malam kemuncak turut menyaksikan barisan selebriti daripada pelbagai generasi dan cabang hiburan bergandingan sebagai penyampai anugerah.

Antara yang bakal memeriahkan pentas ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Rosyam Nor, Erra Fazira, Zarif Ghazzi, Siti Saleha, Hael Husaini, Dayang Nurfaizah, Sharif Zero, Janna Nick dan Daiyan Trisha.

Tidak ketinggalan, barisan penyanyi dan penghibur yang bakal membuat persembahan termasuk Misha Omar, Ernie Zakri, Nadeera, Dolla, Haqiem Rusli, Aisha Retno, Adira Suhaimi, Wany Hasrita, Shiha Zikir, Alyph, Yasin Sulaiman, K.O.I., Bunga, Luqman Podolski, Mariam Saim dan Mohsein Kush.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Orang Tak Nampak Kemurungan Saya – Azza Elite

0
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Azza Elite mengakui adakalanya dirinya mengalami tekanan hidup dan kemurungan gara-gara kehidupan yang mencabar. Katanya, namun perkara itu dilepaskan apabila...

CATEGORIES