Wednesday, October 21, 2026
HomeBERITASembelihan Ayam Diragui Di Belakang Pasar Pudu, JAKIM Jalankan Siasatan

Sembelihan Ayam Diragui Di Belakang Pasar Pudu, JAKIM Jalankan Siasatan

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan kaedah penyembelihan ayam yang meragukan di sebuah premis berhampiran Pasar Pudu, di sini, susulan penularan rakaman video mengenainya di media sosial.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, memaklumkan siasatan itu turut membabitkan pihak berkuasa tempatan.

“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan berkaitan syarikat bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) terkait isu ayam yang sedang tular,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menggesa JAKIM segera menyiasat kaedah penyembelihan, status halal serta ke mana ayam yang diproses di premis berkenaan dibekalkan dan dijual.

Beliau turut meminta siasatan bersepadu bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Imigresen, meliputi aspek kebersihan, pematuhan undang-undang, kemungkinan penyalahgunaan logo halal serta status permit pekerja asing.

Dakwaan berkaitan kaedah penyembelihan ayam meragukan di premis terbongkar selepas seorang individu menunjukkan rakaman video kepada sekumpulan aktivis masyarakat, malam tadi.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain, berkata ketika itu beliau bersama pasukannya sedang mengikuti operasi penguatkuasaan oleh DBKL dan beberapa agensi lain di kawasan pasar berkenaan.

Katanya, individu terbabit memaklumkan, rakaman itu dibuat ketika aktiviti pemprosesan ayam dijalankan, menyebabkan pasukannya segera menuju ke premis berkenaan sekitar jam 11.30 malam hingga jam 12 tengah malam tadi.

“Apabila kami sampai ke lokasi berkenaan, semua pekerja sudah melarikan diri. Premis itu juga didapati tiada papan tanda atau nama syarikat. Kami juga tidak melihat sebarang sijil atau dokumen pengesahan dipamerkan,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Sophian mendakwa, rakaman video oleh pengadu berkenaan menunjukkan ayam dimasukkan ke dalam bekas berisi air ketika masih menggelupur selepas disembelih, sekali gus menimbulkan keraguan sama ada ayam mati akibat sembelihan atau ketika berada di dalam air.

“Kita tidak tahu ayam mana yang mati kerana sembelihan dan yang mana mungkin mati akibat lemas di dalam air. Sebab itu saya minta semua ayam berkenaan disita kerana perkara ini membabitkan status halal dan keselamatan makanan,” katanya.

Beliau berkata, pasukannya turut membuat siaran langsung di TikTok selain merakam sebuah lori yang mempunyai identiti sebuah pasar raya menghantar ayam hidup ke premis berkenaan, namun tegasnya, identiti pemilik premis dan hubungan dengan pasar raya itu juga perlu disemak pihak berkuasa berdasarkan dokumen berkaitan.

Mohd Sophian turut menggesa pihak berkuasa memperketat pemantauan terhadap premis penyembelihan ayam, termasuk pematuhan prosedur, status pekerja dan kebersihan.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

IPD Seremban Penuhi Hajat Wanita Sarat Hamil Naik Kereta Peronda Polis

0
SEREMBAN - Seorang wanita yang hamil lapan bulan mengukir senyuman lebar apabila hajatnya untuk menaiki kereta peronda polis akhirnya menjadi kenyataan. Nurul Asyira Zakaria, 23,...

CATEGORIES