SHAH ALAM – Penyanyi Zaki Yamani tidak terkesan dengan komen segelintir netizen yang mempersoalkan kemampuan kewangannya, sebaliknya menegaskan bahawa dia sudah mencari wang sendiri sejak berusia 13 tahun.
Zaki atau nama penuh, Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 20, mendakwa bekerja keras untuk menampung komitmen sendiri tanpa bergantung kepada wang bapa mahupun individu lain.
“Bagi saya, kita tidak boleh merendahkan individu lain. Mereka yang sokong saya sejak awal tahu bagaimana saya bekerja keras.
“Saya tidak guna duit ayah atau sesiapa. Saya kerja untuk bayar komitmen sendiri… Hanya mereka yang rapat dengan saya tahu,” katanya pada Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 di Selangor International Trade Centre (SITC) di sini, baru-baru ini.
Zaki mengulas komen netizen yang meminta teman wanitanya, penyanyi Azeva, mencari jejaka kaya ketika mereka mengadakan sesi siaran langsung di media sosial.
Zaki yang juga anak penyanyi, Datuk Jamal Abdillah berkata, dia menerima komen dan gurauan orang ramai dengan hati terbuka kerana mereka tidak mengetahui komitmen kewangannya.
“Saya tidak kisah orang nak cakap apa kerana bukan mereka yang membayar rumah, kereta dan bil lain. Saya sudah bekerja sejak berusia 13 tahun dan sekarang hampir mencecah usia 21 tahun.
“Mungkin mereka jarang melihat golongan muda bekerja sendiri untuk membayar komitmen masing-masing,” katanya.
Zaki berkata, pengalaman bekerja sejak usia muda turut mengajarnya menguruskan kewangan dengan baik demi menjamin masa depan.
Tambahnya, biarpun ada yang menganggap dia tidak mempunyai simpanan, hakikatnya dia sentiasa memikirkan perancangan kewangan jangka panjang.
“Ramai mungkin sangka saya tidak ada simpanan wang, tetapi, sebenarnya saya memang memikirkan masa depan.
“Ibu antara individu yang selalu mengingatkan saya supaya menyimpan wang. Saya juga belajar daripada ayah bahawa kita perlu mempunyai simpanan untuk masa depan.
“Saya mahu beli rumah dan menjalankan perniagaan. Sebagai anak muda, kita tidak boleh terlalu boros. Prinsip saya, 70 peratus gaji disimpan dan hanya 30 peratus digunakan untuk berbelanja,” katanya.
Mengulas hubungannya dengan Azeva, Zaki menyifatkan penyanyi itu sebagai individu yang berdisiplin dan bijak menjana pendapatan menerusi perniagaan.
Tambahnya, hubungan rapat mereka membolehkan masing-masing mengenali peribadi dan matlamat kehidupan, namun mereka kekal sebagai teman baik.
“Saya dan Azeva memang sangat rapat dan kami tahu serba sedikit mengenai diri masing-masing. Namun, kami tetap berkawan baik.
“Azeva berdisiplin, bijak menjana pendapatan dan pandai berniaga. Itu antara sebab saya senang berkawan dengannya.
“Apabila berkawan dengan seseorang, saya akan tengok apa yang dilakukannya untuk masa depan,” katanya.
Sumber – Berita Harian





