Thursday, July 9, 2026
HomePERNIAGAANGardenia Dan UiTM Meterai Kerjasama Strategik Melalui Program Apprenticeship 2026 Bagi Melahirkan...

Gardenia Dan UiTM Meterai Kerjasama Strategik Melalui Program Apprenticeship 2026 Bagi Melahirkan Graduan Berdaya Saing Dalam Industri Bakeri

Shah Alam, 8 Julai 2026 – Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., jenama roti kegemaran rakyat Malaysia, hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor bagi memperkukuhkan kolaborasi industri dan institusi pendidikan tinggi di Majlis Penutup Gardenia x UiTM Apprenticeship 2026. Kerjasama strategik ini bertujuan melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan, khususnya dalam industri makanan dan pembuatan roti.

Program ini direka khusus untuk memberikan pendedahan praktikal kepada mahasiswa UiTM dalam bidang inovasi produk makanan, pembangunan jenama serta strategi pemasaran produk berasaskan roti. Sepanjang program, peserta didedahkan kepada keseluruhan proses pembangunan produk, bermula daripada penyelidikan dan penjanaan idea sehingga kepada strategi pelancaran produk ke pasaran.

“Gardenia sentiasa percaya bahawa generasi muda Malaysia merupakan aset paling bernilai kepada negara. Melalui program Apprenticeship ini, kami bukan sekadar membuka pintu industri kepada para pelajar, malah memberi peluang kepada mereka untuk berfikir seperti seorang usahawan, pakar strategi jenama dan pencipta produk. Kami berharap kolaborasi ini akan melahirkan idea-idea segar yang memberi impak positif bukan sahaja kepada pelajar, malah kepada industri,” kata Puan Ena Suhaila Abas, Pengurus Kanan Pemasaran, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd.

Prof. Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Selangor berkata, “UiTM sentiasa komited dalam menyediakan platform yang menghubungkan pelajar dengan industri secara langsung. Kerjasama bersama Gardenia ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk memperoleh pengalaman praktikal dalam persekitaran perniagaan sebenar. Kami yakin inisiatif ini akan memperkukuh kemahiran, keyakinan dan kebolehpasaran graduan apabila melangkah ke alam kerjaya.”

Turut hadir di majlis penutup tersebut ialah Encik Derrick Khoo, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd. bersama semua peserta program.

Program Gardenia x UiTM Apprenticeship 2026 telah melibatkan penyertaan daripada 22 kampus UiTM di seluruh Semenanjung Malaysia. Setiap kampus diwakili oleh satu pasukan yang terdiri daripada lima orang pelajar di bawah bimbingan seorang pensyarah mentor, menjadikan jumlah keseluruhan peserta seramai 110 mahasiswa.

Setiap pasukan diberi cabaran untuk membangunkan produk berasaskan rangkaian Gardenia Ready-to-Eat (RTE) seperti QuickBites, PUAZZ!, Toast’em Waffles, Squiggles dan Twiggies, dengan penekanan terhadap inovasi produk, kreativiti serta potensi komersial.

Dalam Fasa Pertama, para peserta membangunkan tiga konsep produk RTE yang inovatif dan mempersembahkannya dalam bentuk video berdurasi 3-4 minit. Lima pasukan terbaik kemudiannya meneruskan perjalanan ke Fasa Kedua, di mana mereka menghasilkan cadangan strategi jenama yang lengkap dan mempersembahkannya secara langsung di hadapan panel pada Sesi Pembentangan Akhir.  Keputusan akhir program adalah seperti berikut:

Juara

RM 5,000

+ tawaran latihan industri bersama Gardenia

Munchz Grab & Bites Delight (UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub)

Naib Juara

RM 3,000

Kaya Cakoi Bites (UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah)

Tempat Ketiga

RM 1,500

Dip N Bite (UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Kota Bharu)

Hadiah Sagu Hati (1)

RM 500

Mochi Roti Bites (UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang)

Hadiah Sagu Hati (2)

RM 500

GD Burger (UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban)

Anugerah

Pembentangan Terbaik

RM 1,500

UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub

“Program Apprenticeship ini bukan sekadar pertandingan, tetapi pengalaman yang membuka mata kami kepada realiti sebenar industri bakeri. Ia mengasah kemahiran kami dalam pembangunan produk dan strategi jenama, serta memberi kami keyakinan untuk berfikir seperti usahawan sebenar. Setinggi-tinggi terima kasih kepada Gardenia dan UiTM atas peluang luar biasa ini,” ulas Wakil, Munchz Grab & Bites Delight.

Selari dengan pelaksanaan Gardenia x UiTM Apprenticeship 2026, UiTM turut menjalankan satu kajian mengenai tabiat pemakanan dalam kalangan mahasiswa yang melibatkan lebih 2,200 responden daripada 22 kampus terlibat, dengan penyertaan lebih 100 responden bagi setiap kampus. Kajian ini bertujuan untuk memperoleh pemahaman yang lebih mendalam mengenai corak pemakanan mahasiswa serta hubung kaitnya dengan prestasi akademik dan kesejahteraan mental. Dapatan kajian akan dirumuskan dalam laporan rasmi UiTM dan dijangka menjadi rujukan penting kepada Gardenia dalam memahami keperluan, gaya hidup serta citarasa segmen pengguna muda.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Gardenia turut menganjurkan Siri Jelajah Kampus di kesemua kampus yang terlibat. Program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk berinteraksi secara langsung dengan pasukan Gardenia, mencuba rangkaian produk Ready-to-Eat (RTE) terkini serta menyertai pelbagai aktiviti interaktif. Sepanjang siri jelajah tersebut, Gardenia telah mengagihkan lebih 11,000 pek produk RTE kepada mahasiswa sebagai sebahagian daripada usaha mendekatkan jenama dengan generasi muda dan memperkukuh pengalaman pembelajaran berasaskan industri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Salah Dakwaan Itu’ – Azar Azmi Nafi Kumpul Duit Ikat Jamin...

0
PETALING JAYA – Pelakon Azar Azmi enggan mengulas lanjut mengenai status terkini suaminya, Mohd. Apri Hazreen Mohd Sapri yang berdepan dua pertuduhan mahkamah iaitu...

CATEGORIES