Thursday, August 27, 2026
HomeBERITABanjir Nepal: 400 Pelancong Termasuk 50 Warga Malaysia Hilang, 157 Maut

Banjir Nepal: 400 Pelancong Termasuk 50 Warga Malaysia Hilang, 157 Maut

NEPAL: Sekurang-kurangnya 157 mayat ditemui, manakala lebih 400 pelancong dilapor masih hilang selepas runtuhan tebing lumpur dan batu mencetuskan banjir di kawasan sempadan Himalaya antara Nepal dan Tibet, China, semalam.

Banjir itu memusnahkan kediaman, laluan darat serta projek tenaga di Nepal, manakala pihak berkuasa di Tibet mengesahkan kebimbangan berlaku korban jiwa yang tinggi di pintu sempadan daerah Gyirong.

Laporan awal pihak berkuasa Nepal mendapati gempa bumi di kawasan berhampiran dipercayai menjadi punca gelongsoran bahagian bawah glasiar sehingga mencetuskan banjir berkenaan.

Jurucakap Lembaga Pelancongan Nepal, Sunil Sharma, berkata seramai 133 pelancong yang hilang terdiri daripada warga India yang dalam perjalanan mengerjakan ibadah ziarah.

Beliau berkata, baki pelancong yang hilang membabitkan 47 warga Amerika Syarikat (AS), Australia (34), Britain (33), Kanada (24) dan Malaysia (50) manakala kewarganegaraan pelancong lain belum dapat dipastikan.

Pegawai Kementerian Pelancongan Nepal memberitahu media bahawa lebih 400 pelancong masih hilang, dengan kira-kira 340 daripadanya adalah warga asing.

Jurucakap Lembaga Pelancongan Nepal, Sunil Sharma, memberitahu Associated Press bahawa 133 daripada pelancong berkenaan adalah dari India dan sedang mengerjakan ibadah ziarah.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berkata pasukan PBB dan rakan kerjasama sedang menggerakkan bekalan serta anggota ke Nepal bagi membantu komuniti yang terjejas akibat bencana itu.

Wilayah berkenaan terletak di laluan popular menuju Kailash Manasarovar di Tibet, lokasi yang dikunjungi ratusan penganut Hindu dari India dan negara lain setiap tahun, terutama pada waktu ini.

Penyiar negara China melaporkan tiga orang terbunuh manakala 265 lagi masih hilang di Gyirong. Menurutnya, jumlah korban masih dalam proses pengesahan dan operasi menyelamat sedang dijalankan.

Korea Selatan pula memaklumkan lapan rakyatnya yang bekerja di sebuah loji hidroelektrik turut dilaporkan hilang.

Sementara itu, agensi berita Xinhua melaporkan tanah runtuh di Pelabuhan Gyirong memutuskan hubungan jalan darat, komunikasi dan bekalan elektrik di wilayah Shigatse berhampiran sempadan.

Pasukan penyelamat menerusi siaran televisyen CCTV memaklumkan, pemerhatian menggunakan dron mendapati semua laluan ke lintasan sempadan musnah sepenuhnya dan usaha bagi menghubungi pihak pelabuhan sempadan Gyirong masih gagal.

Susulan limpahan air lumpur deras dari ketinggian hampir 2,000 meter dari aras laut, amaran banjir dikeluarkan di negeri Uttar Pradesh dan Bihar, India.

Pihak berkuasa Bihar sudah memindahkan kira-kira 5,000 penduduk dari enam daerah dan merancang memindahkan sehingga 12,000 orang sebagai langkah berjaga-jaga. – AGENSI

Seorang penduduk meredah jalan yang dipenuhi lumpur selepas banjir kilat dan tanah runtuh melanda Devghat di daerah Nuwakot, Nepal. – Foto AFP

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

RON97, RON95 Dan Diesel Tanpa Subsidi Naik 5 Sen

0
PUTRAJAYA – Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 27 Ogos hingga 2 September naik sebanyak 5 sen iaitu daripada RM4.67 seliter kepada RM4.72 seliter. Kementerian...

CATEGORIES