PETALING JAYA – Aktor Aqasha menyifatkan dua pelakon iaitu Mila Mohsin dan Aisha Retno yang menjayakan watak Gusti Putri dalam pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGLM) mempunyai keistimewaan masing-masing.
Aqasha atau Firdee Akassya Rosli, 43, yang menjayakan peranan sebagai Hang Tuah dalam teater tersebut berkata, meski memegang watak yang sama, cara dua pelakon itu melunaskan tanggungjawab sebagai PGL adalah berbeza dan mengikut penghayatan sendiri.
“Walaupun wataknya sama iaitu Gusti Putri tetapi dibawakan oleh dua pelakon yang berbeza. Jadi, dinamik penyampaian mereka juga pasti akan berlainan.
“Cuma saya sebagai salah seorang daripada pemain di pentas itu juga rasa teruja nak nak melihat apa yang akan dipersembah oleh kedua puteri baru ini
“Sebelum ini watak tersebut dijayakan Puan Seri Tiara Jacquelina sendiri. Sekarang ini ada dua puteri yang saya rasa kedua-duanya hadir dengan dinamik dan kekuatan masing-masing,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Dalam pada itu, dia memuji kesungguhan Aisha dan Mila dalam menjayakan karakter ikonik tersebut.
“Kedua-duanya sama hebat dan Aisha, kita sudah tahu dia memang sering beri persembahan memukau di pentas.
“Kehadirannya di atas pentas memang tak dinafikan memberi satu impak yang luar biasa jugalah,” katanya lagi.
Tambah Aqasha, dia yakin dua pelakon yang membawa watak Gusti Putri merupakan daya penarik utama orang ramai untuk menyaksikan pementasan yang akan diadakan di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square nanti.
“Pembaharuan kali ini pun saya rasa antara yang orang dah tahu kita ada dua puteri iaitu Aisha dan Mila.
“Jadi saya percaya peminat-peminat teater mungkin akan sanggup datang untuk menonton sebanyak dua versi daripada dua puteri yang berbeza.
“Ini adalah salah satu daya tarikan yang baru untuk untuk penggemar-penggemar teater yang belum pernah menonton PGL,” jelasnya.
Terdahulu, keseluruhan tiket pementasan semula PGLM habis terjual dalam tempoh hanya dua jam selepas kaunter umum dibuka.
PGLM akan dipentaskan bermula 31 Oktober hingga 15 November ini.
Antara barisan pelakon lain yang akan menjayakan teater tersebut ialah Mimi Fly, Nadia Aqilah, Luqman Hafidz dan Yusuf Hashim.
Sumber – HIBGLAM





