PETALING JAYA: Selepas lebih tiga dekad dalam industri hiburan, Datuk Aznil Haji Nawawi atau Pak Nil merealisasikan impiannya membentuk kumpulan vokal K4LAM menerusi single sulung, MUSA, yang menggabungkan suara manusia dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
K4LAM yang dibentuk secara berperingkat sejak Februari lalu dianggotai Isa Khan, 33, Danny, 22, Zulhilmi Zolkefli, 28, dan Allif Firdaus, 25, dengan bimbingan penerbit AG Coco.
Menurut Pak Nil, penggunaan AI dalam muzik bukan sesuatu yang perlu dilihat sebagai ancaman kepada kreativiti manusia, sebaliknya teknologi itu boleh menjadi alat untuk meneroka kemungkinan baharu dalam penghasilan karya.
“Bagi saya, AI seperti satu lagi alat dalam dunia muzik kerana kita sudah lama menggunakan teknologi untuk membantu menghasilkan muzik.
“Bezanya sekarang, alat itu semakin pintar dan mampu memberi lebih banyak kemungkinan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Katanya, beliau mula mendalami penggunaan AI dalam muzik selepas mempelajari kaedah membentuk arahan (prompt) yang tepat bagi menghasilkan struktur bunyi, irama dan suasana muzik berdasarkan gambaran kreatifnya.
“AI adalah alat dan yang menentukan bagaimana alat itu digunakan oleh manusia,” katanya.
Menariknya, MUSA turut mengetengahkan dimensi kerohanian apabila liriknya menggunakan ayat terjemahan al-Quran daripada Surah Taha dan Surah An-Naml.
Pak Nil bagaimanapun menegaskan beliau tidak menganggap MUSA sebagai karya ciptaannya sendiri, malah mengakui soal pengiktirafan dan etika penggunaan AI perlu diberi perhatian.
“Saya tidak akan mengakui MUSA adalah lagu ciptaan Pak Nil. Pada saya, soal pengiktirafan itu penting. Kalau kita menggunakan AI dalam proses menghasilkan karya, kita kena jujur tentang bagaimana karya itu terhasil,” katanya.
Dalam penghasilan MUSA, sentuhan manusia tetap diberikan menerusi aspek produksi dan vokal apabila AG Coco bertindak sebagai penerbit, manakala rakaman suara K4LAM dilakukan di studio miliknya, Kamar Seni.
Pak Nil berkata, MUSA tidak dihasilkan untuk dipertandingkan, sebaliknya menjadi eksperimen kreatif yang menggabungkan teknologi kontemporari dengan mesej kerohanian.
“Kalau selepas dengar MUSA, ada yang rasa ingin buka al-Quran, mencari Surah Taha atau Surah An-Naml dan membaca sendiri, bagi saya itu sudah cukup bermakna,” katanya.
MUSA kini boleh didengarkan bersama video muziknya yang dilancarkan pada 26 Ogos lalu.
Sumber – Utusan





