Friday, October 23, 2026
HomeBERITAMalaysia Sasar Kelompok 25 Terbaik Dunia Menjelang 2030

Malaysia Sasar Kelompok 25 Terbaik Dunia Menjelang 2030

KUALA LUMPUR – Malaysia menyasarkan untuk berada dalam kelompok 25 negara terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2030, namun pencapaian itu bukan hanya bergantung kepada usaha membanteras rasuah.

Prestasi negara dalam World Justice Project (WJP) Rule of Law Index turut menjadi antara penanda aras penting yang mencerminkan kekuatan institusi, keberkesanan sistem keadilan dan tahap kedaulatan undang-undang.

Indeks berkenaan turut menggambarkan tahap keyakinan masyarakat terhadap institusi negara, keberkesanan pentadbiran awam serta keupayaan kerajaan melaksanakan reformasi institusi secara berterusan.

WJP menerbitkan Rule of Law Index setiap tahun bagi mengukur sejauh mana prinsip kedaulatan undang-undang diamalkan. Pada 2025, sebanyak 143 negara dinilai, termasuk Qatar yang menyertai penilaian itu buat kali pertama.

Berbeza kebanyakan indeks antarabangsa yang hanya menilai aspek tertentu seperti ekonomi atau rasuah, pendekatan WJP lebih menyeluruh melalui lapan dimensi utama, iaitu pembatasan kuasa kerajaan, ketiadaan rasuah, kerajaan terbuka, hak asasi manusia, ketenteraman dan keselamatan, penguatkuasaan peraturan, keadilan sivil serta keadilan jenayah.

Pada 2025, Malaysia memperoleh skor keseluruhan 0.57 dan berada di kedudukan ke-56 yang tidak berubah berbanding tahun sebelumnya, menunjukkan prestasi negara stabil, tetapi masih belum memperlihatkan peningkatan signifikan.

Purata skor rantau Asia Timur dan Pasifik ialah 0.59, menjadikan Malaysia sedikit di bawah purata serantau, sekali gus masih terdapat ruang untuk negara memperkukuh sistem penyampaian keadilan, meningkatkan keberkesanan institusi awam dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kedaulatan undang-undang.

Kedudukan ini mempunyai implikasi lebih besar kerana laporan WJP antara sumber data digunakan Transparency International (TI) dalam CPI.

Justeru, kerajaan memperkenalkan pelbagai agenda reformasi institusi dan pembaharuan undang-undang, termasuk penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat 2026, RUU Ombudsman Malaysia, RUU Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026, pindaan undang-undang berkaitan amanah serta pelbagai reformasi institusi lain.

Selari dengan pendekatan kerajaan menekankan dasar berasaskan bukti, kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) turut menubuhkan Pasukan Penyelidikan Kedaulatan Undang-Undang berperanan sebagai Ahli Jawatankuasa Kajian Penambahbaikan CPI.

Pasukan penyelidikan ini menghimpunkan kepakaran universiti kerana pembabitan pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) bersama agensi kerajaan dan masyarakat sivil mencerminkan pendekatan kolaboratif lebih menyeluruh dalam memahami faktor sebenar mempengaruhi kedudukan Malaysia dalam indeks antarabangsa.

Bagaimanapun, kita perlu memahami penilaian WJP dibangunkan melalui tiga sumber utama, iaitu General Population Poll (GPP) yang mengukur persepsi orang awam, Qualified Respondents’ Questionnaire (QRQ) yang mendapatkan pandangan pakar daripada bidang perundangan, kehakiman, penguatkuasaan, akademik dan masyarakat sivil serta data sekunder daripada organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan pelbagai institusi antarabangsa lain.

Pendekatan triangulasi ini menjadikan WJP antara indeks paling komprehensif pada peringkat global, tetapi ia juga mempunyai beberapa kekangan metodologi yang wajar difahami sebelum sesuatu kesimpulan dibuat.

Antaranya, penggunaan data GPP Malaysia masih berpandukan data dikumpulkan pada 2017. Dalam tempoh hampir sedekad, negara melalui pelbagai perubahan politik, pentadbiran dan reformasi institusi signifikan.

Tuntut penyelidikan lebih komprehensif

Reformasi undang-undang, penambahbaikan dasar serta transformasi institusi yang dilaksanakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini belum dapat diterjemahkan sepenuhnya dalam penilaian semasa kerana data persepsi rakyat masih belum dikemas kini.

Komponen QRQ pula hanya membabitkan 29 pakar bagi Malaysia untuk penilaian 2025. Jumlah itu masih kecil berbanding keluasan ekosistem perundangan negara. Justeru, peningkatan bilangan pakar yang lebih pelbagai dari sudut kepakaran, wilayah dan latar institusi berpotensi menghasilkan gambaran lebih menyeluruh.

Aspek keterwakilan geografi juga perlu diberi perhatian. Data GPP Malaysia sebelum ini hanya diperoleh daripada tiga kawasan utama, iaitu Lembah Klang, Johor Bahru dan Ipoh yang tidak menggambarkan realiti masyarakat di negeri lain, khususnya Sabah dan Sarawak yang mempunyai ciri demografi, geografi, sosioekonomi serta struktur pentadbiran berbeza.

Di samping itu, konsep ‘rule of law’ sendiri tidak semestinya ditafsir secara seragam dalam semua negara. Faktor budaya, sistem perundangan, sejarah institusi dan pengalaman sosial boleh mempengaruhi bagaimana responden memahami konsep seperti akauntabiliti kerajaan, kebebasan kehakiman, ketelusan pentadbiran dan akses kepada keadilan.

Disebabkan sebahagian besar penilaian WJP bergantung kepada persepsi, dapatan diperoleh juga berpotensi dipengaruhi sentimen semasa, liputan media, perkembangan politik dan tahap pendedahan masyarakat terhadap sesuatu isu.

Walaupun persepsi menjadi komponen penting dalam mengukur tahap keyakinan masyarakat terhadap institusi, ia tidak semestinya menggambarkan keseluruhan realiti institusi yang sedang mengalami proses pembaharuan.

Pada masa sama, WJP hanya mengukur 44 subfaktor tertentu. Beberapa dimensi semakin penting dalam konteks pentadbiran moden seperti budaya integriti organisasi, literasi undang-undang masyarakat, pendidikan sivik, inovasi digital dalam penyampaian keadilan serta keberkesanan pelaksanaan reformasi institusi tidak dinilai secara langsung.

Mengambil kira kekangan itu, Malaysia memerlukan penyelidikan lebih komprehensif untuk memahami faktor sebenar mempengaruhi prestasi negara dalam indeks antarabangsa.

Pendekatan penyelidikan tempatan berasaskan bukti bukan bertujuan mempertikaikan kredibiliti WJP, sebaliknya melengkapkan pemahaman terhadap dapatan diperoleh supaya dasar dan reformasi dapat dirangka secara lebih tepat, bersasar dan berimpak tinggi.

Dalam jangka panjang, dapatan penyelidikan ini berpotensi menjadi asas kepada pembangunan Indeks Kedaulatan Undang-Undang Malaysia, iaitu instrumen nasional yang mengambil kira realiti perundangan, struktur institusi, kepelbagaian negeri dan konteks sosioekonomi negara.

Indeks nasional sedemikian tidak bertujuan menggantikan WJP, sebaliknya melengkapkan penanda aras antarabangsa melalui ukuran lebih terperinci dan relevan dengan keperluan Malaysia.

Hakikatnya, usaha memperkukuh kedaulatan undang-undang tidak boleh bergantung kepada pindaan undang-undang semata-mata, tetapi memerlukan komitmen berterusan daripada kerajaan, badan kehakiman, agensi penguat kuasa, institusi pendidikan tinggi, masyarakat sivil, sektor swasta dan rakyat sendiri.

Hanya dengan itu, Malaysia mampu memperkukuh reputasi sebagai negara menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang serta merealisasikan aspirasi untuk muncul dalam kelompok 25 negara terbaik dunia dalam ICP menjelang 2030.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

PERNAS Bantu Pelajar SPM Menerusi Program Jejak Cemerlang

0
KUALA LUMPUR – Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) meneruskan komitmennya dalam memperkasa bidang pendidikan dengan membantu 180 pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri...

CATEGORIES