KUALA LUMPUR – Impian Speedy Tigers untuk memburu kedudukan lebih baik dalam Piala Dunia Hoki 2026 tidak kesampaian selepas mereka hanya mampu seri 3-3 dengan Afrika Selatan dalam aksi klasifikasi Kumpulan H di Belfius Hockey Arena, Wavre, Belgium, semalam.
Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Brendon Carolan, mengakui kecewa dengan keputusan itu kerana Malaysia gagal mengutip tiga mata walaupun beberapa kali mendahului lawan.
Keputusan berkenaan menyaksikan Malaysia terlepas peluang untuk beraksi dalam penentuan kedudukan ke-11 dan ke-12, sebaliknya terpaksa berpuas hati dengan satu mata.
Malaysia bermula garang apabila Azrai Aizad Abu Kamal meletakkan Speedy Tigers di depan pada minit ke-14 sebelum Luke Wynford menyamakan kedudukan tiga minit kemudian.
Azrai sekali lagi menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-22, namun Nicholas Spooner memastikan Afrika Selatan kembali mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-28.
Afrika Selatan kemudian mendahului menerusi Mustaphaa Cassiem pada minit ke-43, tetapi Malaysia terus melawan sehingga Faizal Saari menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-60 untuk memastikan perlawanan berakhir 3-3.
Carolan berkata keputusan mengeluarkan penjaga gol pada penghujung permainan adalah perjudian yang perlu dilakukan kerana Malaysia memerlukan kemenangan untuk mengatasi lawan dari segi perbezaan gol dan memburu slot tempat ke-11 dan ke-12.
“Kami mahukan tiga mata dan mahu meletakkan diri dalam penentuan tempat ke-11 dan ke-12. Namun, melepaskan gol mudah, terutama ketika kekurangan seorang pemain, amat mengecewakan.
“Kami terlalu longgar pada separuh masa pertama, tetapi selepas itu kami memperkemaskan permainan,” kata Carolan.
Beliau bagaimanapun tetap melihat perkembangan positif selepas Malaysia mampu memberi tentangan kepada Afrika Selatan, selain sebelum itu berdepan Ireland dalam aksi Kumpulan H.
“Kami semakin hampir dan semakin baik. Ireland dan Afrika Selatan adalah pasukan yang bagus. Kami cuma mahu mendapatkan kemenangan,” katanya.
Selepas keputusan seri itu, Malaysia terpaksa menunggu keputusan perlawanan Ireland menentang Perancis. Perancis kemudian menewaskan Ireland 2-1 untuk meletakkan Malaysia di tangga tercorot Kumpulan H.
Malaysia kini perlu menunggu keputusan perlawanan antara Jepun dan Wales bagi mengetahui lawan dalam penentuan tempat ke-15 dan ke-16 pada 28 Ogos ini.
Carolan berkata fokus pasukan selepas ini adalah untuk membina program jangka panjang bagi merapatkan jurang dengan pasukan ranking 10 hingga 16 dunia sebelum memburu tempat dalam kelompok 10 terbaik.
Sumber – Berita Harian





