PETALING JAYA – Susulan kontroversi dicetuskan pelakon Puteri Balqis berhubung perlakuan ‘digesel’ regu lakonan, pengarah Riza Baharudin menegaskan sebarang adegan melibatkan sentuhan fizikal antara pelakon perlu mendapat arahan atau kelulusannya bagi memastikan keselesaan serta keselamatan semua pihak sepanjang penggambaran.
Menurut Riza, aspek keselamatan dan kebajikan seluruh tenaga produksi sentiasa menjadi keutamaan, bahkan setiap babak yang dirakam sudah dirancang teliti berlandaskan keperluan skrip, perkembangan watak serta kesesuaian jalan cerita.
“Sepanjang penggambaran, keselamatan, keselesaan dan kebajikan setiap pelakon serta kru produksi sentiasa menjadi keutamaan utama saya selaku pengarah.
“Setiap adegan dirancang dan diarahkan berdasarkan keperluan skrip, perkembangan watak serta kesesuaian penceritaan. Sebarang cadangan atau perubahan adegan turut melalui pertimbangan dan kelulusan saya selaku pengarah,” katanya dalam Instagram.
Tambahnya, dia sudah mengadakan perbincangan bersama pelakon terlibat selain menetapkan garis panduan ketat bagi setiap adegan yang melibatkan sentuhan fizikal.
“Saya juga mengambil maklum kebimbangan yang disampaikan kepada saya.
“Susulan perkara tersebut, saya mengadakan perbincangan dengan pelakon yang terlibat dan menetapkan bahawa sebarang sentuhan fizikal dalam adegan hanya boleh dilakukan berdasarkan arahan atau setelah mendapat kelulusan saya selaku pengarah.
“Langkah ini diambil bagi memastikan pelaksanaan setiap adegan kekal dalam batas keperluan lakonan serta mengambil kira keselesaan pelakon yang terlibat,” jelasnya.
Pengarah drama Dua Nyawa itu turut menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya dipanggil bagi membantu siasatan berhubung perkara tersebut.
“Penjelasan ini adalah berdasarkan pengetahuan dan pemerhatian saya sendiri sepanjang penggambaran.
“Saya menghormati hak semua pihak dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan.
“Saya berharap semua pihak dapat memberikan ruang agar perkara ini dapat ditangani secara adil dan berdasarkan fakta,” jelasnya lagi.
Terdahulu, pelakon Puteri Balqis juga meluahkan rasa kurang senang apabila mendakwa sering menerima gangguan serta amaran daripada segelintir peminat fanatik pelakon lelaki yang pernah bergandingan dengannya.
Dia juga meluahkan rasa kurang senang terhadap tindakan seorang pelakon lelaki yang didakwa sengaja bergesel dengannya ketika menjayakan babak lakonan bersama.
Pelakon yang mesra disapa Aqish itu turut mendakwa mengambil inisiatif bertemu pengarah bagi meminta supaya babak bersentuhan dikurangkan selepas mendakwa pelakon terbabit berulang kali cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya.
Dalam pada itu, pihak pengurusan pelakon Zarif Ghazzi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pelakon itu melakukan gangguan seksual terhadap Puteri Balqis, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Menerusi kenyataan rasmi, pihak pengurusan turut menegaskan Zarif tidak pernah melakukan sebarang perbuatan seperti yang didakwa dan kekal dengan pendirian tersebut.
Sumber – Kosmo! Online





