KUALA LUMPUR – Selepas dinanti-nantikan, AEON KL Midtown dijangka akan dibuka pada suku keempat 2026, dengan kadar penghunian disasarkan mencapai sekitar 75 peratus.
Pembukaan pusat beli-belah itu menjadi langkah baharu buat AEON Co (M) Bhd dalam memperluaskan format gedung barangan umum (GMS) kendiri, selain menyasarkan kadar penyewaan pihak ketiga yang lebih tinggi.
Penganalisis RHB Investment Bank, Soong Wei Siang, berkata bahagian perkhidmatan pengurusan hartanah (PMS) AEON dijangka terus mencatat prestasi kukuh, disokong kadar penghunian melebihi 95 peratus dan pertumbuhan kadar sewa positif.
Walaupun begitu, katanya penjimatan utiliti selepas penstrukturan semula tarif pada Julai 2025 sepatutnya mula dirasai mulai Jun 2026, memandangkan mekanisme pelarasan kos bahan api secara automatik berubah daripada rebat kepada surcaj ketika harga tenaga semakin meningkat.
“Sehubungan dengan itu, kami menjangkakan margin PMS sepenuh tahun akan kembali normal kepada kira-kira 41 peratus, iaitu bertepatan dengan paras tahun kewangan 2025.
“Perniagaan peruncitan ini sepatutnya terus lemah, khususnya pada suku ketiga 2026 dengan pihak pengurusan memaklumkan bahawa adanya kemerosotan yang kian ketara dalam perbelanjaan pengguna sejak Jun.
“Kami meramalkan perolehan teras separuh kedua 2026 akan menurun sekitar 14 peratus tahun ke tahun, namun sumbangan kukuh semasa separuh pertama tahun ini sepatutnya masih menyokong kenaikan perolehan kira-kira enam peratus pada tahun kewangan 2026,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Wei Siang berkata, keputusan kewangan separuh pertama 2026 yang dilaporkan oleh AEON menepati jangkaan, dengan perolehan segmen PMS yang kukuh menampung keadaan segmen runcit yang semakin lemah.
“Kami terus menyukai (saham) AEON atas faktor sumbangan segmen PMS yang agak stabil dan penilaiannya yang murah,” katanya.
Keuntungan teras AEON pada separuh pertama 2026 berjumlah RM97.9 juta, mencapai kira-kira 62 peratus daripada ramalan tahun kewangan 2026, dibantu oleh perolehan segmen PMS yang bertahan.
Margin keuntungan teras berkembang kepada 4.4 peratus, dipacu oleh margin PMS yang semakin meningkat apabila belanja hartanah yang lebih rendah menunjukkan penjimatan berjaya dicapai daripada penstrukturan semula tarif elektrik yang dijalankan pada Julai 2025.
Hasil pada suku kedua tahun kewangan 2026 secara umumnya mendatar tahun ke tahun kepada RM995.4 juta.
Hasil bagi segmen PMS menokok 3.0 peratus tahun ke tahun kepada RM200 juta, manakala untung segmen meningkat lebih tinggi 15.1 peratus kepada RM90 juta, sekali gus melonjakkan paras margin kepada 45 peratus.
Menurut Wei Siang, pihak pengurusan AEON mengaitkan kenaikan margin ini dengan belanja hartanah semakin menurun susulan semakan tarif utiliti, sedangkan kadar penghunian baik, pembaharuan sewaan, dan pengoptimuman komposisi penyewa menyokong pendapatan kasar untuk berkembang.
“Hasil bagi segmen peruncitan pula jatuh 1.2 peratus tahun ke tahun kepada RM795.4 juta, apabila sentimen pengguna semakin melemah mengalihkan perbelanjaan pengguna daripada kedai GMS seperti perkakasan dan pakaian kepada barangan keperluan utama.
“Segmen ini terus menampung kerugian pada suku tahun yang selalunya lemah ini, dengan margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) merosot kepada -4.1 peratus daripada -3.5 peratus pada suku kedua 2025, selain turut mencerminkan ketiadaan perbelanjaan membabitkan musim perayaan tahun ini,” katanya.
Sumber – Berita Harian





