JOHOR BAHRU – Pelajar tingkatan empat, Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, dipercayai maut selepas dipukul berulang kali menggunakan sebatang besi sepanjang 96 sentimeter, termasuk di bahagian kepala, dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, senjata yang digunakan itu merupakan besi berbentuk petak yang berfungsi sebagai penutup pintu kabinet.
Menurutnya, bahagian hulu besi berkenaan ditemukan dalam keadaan berbalut dengan kain tali leher yang dipercayai dijadikan pemegang.
Beliau berkata, selain kecederaan di kepala, mangsa turut mengalami kesan pukulan di beberapa bahagian tubuh termasuk tangan dan badan.
“Berdasarkan siasatan, kita percaya berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek berikutan terdapat kesan kecederaan mempertahankan diri pada tubuh mangsa.
“Siasatan juga mendapati mangsa tidak dirogol suspek,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat.
Ab. Rahaman berkata, selain batang besi berkenaan, polis turut merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan termasuk telefon bimbit, seluar trek hitam serta baju sukan putih merah bernombor 27 yang mempunyai kesan darah.
Katanya, polis turut merampas kunci motosikal, buku Matematik Tambahan tertera nama mangsa serta contoh soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Mengulas mengenai motif kejadian, beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak demikian kerana dendam selepas cintanya ditolak mangsa.
“Pada masa sama, mangsa turut didakwa mempunyai hubungan dengan kawan baik suspek sendiri.
“Bagaimanapun, perkara ini akan terus diperhalusi dalam siasatan yang masih dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini polis mendapati suspek bertindak bersendirian, namun siasatan masih diteruskan bagi menentukan sama ada kejadian itu dirancang lebih awal atau berlaku secara spontan.
Tambahnya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod disiplin sepanjang berada di sekolah berkenaan, manakala keperluan pemeriksaan psikiatri bergantung kepada keputusan pihak mahkamah.
Dalam perkembangan sama, kertas siasatan kes itu dijangka diserahkan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Johor hari ini bagi mendapatkan arahan lanjut berhubung tindakan pendakwaan.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Batu Pahat membenarkan sambungan reman selama enam hari terhadap suspek lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan rakan sekelasnya di dalam dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Seth, Yong Peng.
Suspek sebelum ini direman selama enam hari bermula Ahad lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber – KOSMO! ONLINE





