Monday, November 23, 2026
HomeBERITAUjian Mendengar, Bertulis BM Dan BI SPM Pada Hari Sama Tahun Ini

Ujian Mendengar, Bertulis BM Dan BI SPM Pada Hari Sama Tahun Ini

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pendekatan baharu dengan mengadakan ujian mendengar dan peperiksaan bertulis bagi kertas Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris pada hari yang sama mulai tahun ini sebagai usaha mengurangkan jumlah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak hadir.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, berkata tindakan itu bertujuan memastikan calon menduduki semua komponen peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan sekali gus mengelakkan mereka dianggap gagal hanya kerana tidak hadir bagi satu komponen.

Beliau berkata, sebelum ini ada calon yang mengambil mudah kepentingan melengkapkan semua komponen peperiksaan apabila beranggapan prestasi baik dalam ujian bertutur atau mendengar sudah memadai untuk memperoleh keputusan yang baik.

“Langkah itu diambil berikutan terdapat calon yang hadir menduduki satu komponen peperiksaan tetapi tidak hadir bagi komponen lain, sekali gus menjejaskan keputusan keseluruhan mata pelajaran berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1), di sini, hari ini.

Seramai 420,879 calon SPM 2026 mula menduduki peperiksaan hari ini dengan Ujian Mendengar Bahasa Melayu bermula jam 9 pagi, diikuti Kertas 1 dan Kertas 2 Bahasa Melayu.

Mohd Azam berkata, KPM sebelum ini merancang untuk menyusun semula semua kertas peperiksaan yang mempunyai komponen ujian lisan dengan membawanya ke pertengahan jadual peperiksaan.

Bagaimanapun katanya, perancangan itu belum dapat dilaksanakan sepenuhnya berikutan jumlah calon yang besar bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, selain mengambil kira risiko gangguan banjir.

Katanya, pelaksanaan secara berperingkat itu membolehkan KPM menilai keberkesanan pendekatan berkenaan sebelum mempertimbang peluasan kepada komponen peperiksaan lain.

Beliau berkata, ujian mendengar dan ujian bertutur komponen penting yang perlu dihadiri calon bagi melengkapkan penilaian dua mata pelajaran berkenaan.

Esok, calon akan menduduki Ujian Mendengar Bahasa Inggeris serta Kertas 1 dan Kertas 2 Bahasa Inggeris.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Semoga Istiqamah Sampai Syurga’, Dah Tak Selesa ‘Free hair’- Reen Rahim

0
KUALA LUMPUR – “Sebenarnya, saya tak perasan sangat. Mungkin suami saya boleh jawab bagaimana boleh terdetik untuk saya memakai tudung.” Demikian respons ringkas pelakon Reen...

CATEGORIES