KUALA LUMPUR – Penyanyi Indonesia, Cakra Khan meluahkan rasa kesal dan prihatin terhadap isu jerebu serta pembakaran terbuka yang semakin membimbangkan sehingga menjejaskan negara jiran.
Menerusi satu hantaran di Threads, Cakra, 34, menggesa pihak berkuasa dan kerajaan di negaranya mengambil tindakan lebih tegas serta mempertingkatkan usaha bagi menangani krisis berkenaan.
“Pihak kerajaan, lihatlah keadaan ini. Asapnya merebak sehingga ke mana-mana dan turut menjejaskan saudara-saudara kita di negara jiran. Usaha perlu dipertingkatkan lagi!.
“Kasihanilah mereka yang terkesan akibat kejadian ini. Semoga semua yang terjejas sentiasa dilindungi dan berada dalam keadaan selamat,” tulisnya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Harus Terpisah itu turut membidas tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan pembakaran secara sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kesannya terhadap masyarakat umum.
Hantaran Cakra mendapat pelbagai reaksi daripada pengikutnya di media sosial yang rata-ratanya bersetuju dengan teguran berkenaan dan berharap agar tindakan drastik dapat diambil segera demi kesejahteraan bersama.
Sumber – Berita Harian





